Permohonan Muda rujuk siasatan Hakim Nazlan ke Mahkamah Persekutuan dibantah


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan membantah permohonan Muda untuk merujuk isu perlembagaan berhubung siasatan terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ke Mahkamah Persekutuan kerana perkara itu bersifat akademik, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly yang mewakili SPRM dan kerajaan sebagai defendan berkata persoalan yang dicadangkan oleh Muda bukan lagi satu isu kerana telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Najib Razak dan rayuan lain.

Dalam hujahnya Ahmad Hanir berkata keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Najib diterima dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa sesi soal jawab di Dewan Negara pada 19 Jun 2023 menjelaskannya.

“Anwar memberitahu Dewan Negara penemuan SPRM tidak menunjukkan kesalahan jenayah dilakukan. Jabatan Peguam Negara bersetuju dengan kesimpulan itu. Oleh itu, defendan dengan rendah hati memohon agar permohonan Muda ditolak dengan kos,” katanya kepada hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid.

Peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Muda berhujah SPRM tidak mempunyai bidang kuasa, apa lagi kepakaran untuk menyiasat atau membuat penemuan mengenai pelanggaran Kod Etika Hakim 2009 atau konflik kepentingan di pihak hakim mahkamah atasan.

“Sebarang aduan pelanggaran Kod Etika Hakim 2009 hendaklah diarahkan kepada dan diuruskan oleh Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara menurut Perkara 125(3) dan (3A) Perlembagaan Persekutuan, atau Jawatankuasa Etika Hakim di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010.

“Oleh itu perkara ini mesti dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan,” katanya.

Mahkamah menetapkan 17 Januari depan untuk memutuskan permohonan Muda itu.

Pada 25 April Muda memfailkan permohonan untuk merujuk isu perlembagaan bagi menentukan sama ada SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat hakim mahkamah atasan yang sedang berkhidmat kerana melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan mendengar kes walaupun terdapat konflik kepentingan.

Muda memfailkan saman pemula pada 12 April memohon perisytiharan SPRM tidak mempunyai kuasa atau bidang kuasa untuk menyiasat dapatan atau pandangan bahawa hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan mempunyai konflik kepentingan semasa mendengar kes tertentu.

Muda juga memohon pengisytiharan penemuan atau pandangan SPRM bahawa Hakim Mohd Nazlan melanggar Kod Etika atau mempunyai konflik kepentingan semasa mendengar kes SRC International Sdn Bhd, adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan. – Bernama, 22 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen