UiTM labur RM260 juta tanpa kelulusan MoF, kata laporan ketua audit


UITM menyuntik RM259.98 juta ke dalam syarikat pegangan pelaburannya tanpa kelulusan Kementerian Kewangan, kata Laporan Ketua Audit Negara (LKAN). – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2023.

UITM, sebuah institut awam khusus untuk bumiputera/Melayu menyuntik dana RM259.98 juta ke dalam syarikat pegangan pelaburannya tanpa kelulusan Kementerian Kewangan, kata Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Pelaburan itu terdiri daripada saham biasa berjumlah RM124.38 juta dan saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Terkumpul Islam berjumlah RM135.6 juta.

Pelaburan yang tidak wajar itu juga melanggar Akta Universiti Teknologi Mara 1976.

Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Radzi berkata prestasi keluaran itu tidak memuaskan daripada aspek indeks prestasi utama (KPI) yang tidak mencapai sasaran dan tidak dipantau pengarahnya.

“Aktiviti pelaburan UiTM Holding adalah tidak teratur terutama dari aspek suntikan modal kerana tiada kelulusan menteri kewangan diperolehi.

“Kedudukan kewangan Kumpulan UiTM Holdings kurang stabil dalam tempoh yang dinilai,” katanya.

UiTM Holdings masih belum mencapai sepenuhnya mandat dan objektif penubuhan dalam memenuhi peranannya sebagai syarikat pemegangan pelaburan dalam anak-anak syarikatnya yang memberikan pulangan kepada UiTM.

Laporan itu juga menyatakan aktiviti pelaburan dalam bidang tenaga adalah kurang cekap dengan kelemahan yang ditemui dalam pelaksanaan penjanaan tenaga elektrik solar berskala besar dan projek solar atas bumbung.

Menurut Wan Suraya penukaran status kategori tanah UiTM Solar Park I kepada status industri masih belum selesai walaupun projek itu beroperasi sepenuhnya sejak 2019.

“Ini mengakibatkan denda dan cukai rumah berjumlah RM14.69 juta yang dikenakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan.

“Terdapat hakisan tanah yang serius di UiTM Solar Park I dan UiTM Solar Park II dan insiden kehilangan kabel yang kerap didapati kerana pemasangan kabel tidak ditutup dengan sempurna,” katanya.

Ini menyebabkan kerugian berjumlah RM415,019 dan penggantian kabel sebanyak RM98,055 bagi tempoh 2022 hingga Mac 2023.

Di samping itu 41% aduan kecacatan pembinaan berkaitan projek atas bumbung solar masih belum diperbaiki dan memerlukan perbincangan lanjut. – 22 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen