Kebebasan media dan kebeasan bersuara antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini


Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2023.

SOAL kebebasan media dan kebebasan bersuara khususnya kandungan media sosial antara isu yang akan menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat menerusi laman sesawang Parlimen, persoalan itu dibangkitkan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri oleh Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai jaminan kerajaan agar tidak menyalahgunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat kebebasan bersuara.

Pada sesi sama Riduan Rubin (Bebas-Tenom) bertanyakan tentang keberkesanan pelaksanaan Program Penyeragaman Harga (PPH) dalam menangani kos sara hidup penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Pada sesi soal jawab pula Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta Menteri Ekonomi menyatakan sama ada kerajaan bercadang untuk mengasingkan pengiraan inflasi barangan dan perkhidmatan serta mengkelaskan mengikut negeri bagi menggambarkan situasi sebenar kenaikan harga barangan yang dihadapi rakyat.

Turut tersenarai soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan strategi dan dasar kerajaan untuk meningkatkan tahap pemilikan ekuiti dalam kalangan bumiputera, individu dan korporat sepanjang tempoh RMK-12 yang masih berbaki.

Selesai sesi itu sidang Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa.

Menurut takwim Parlimen perbahasan rang undang-undang di peringkat itu akan berlangsung selama 12 hari hingga 27 November ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Oktober lepas. – Bernama, 9 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen