Suruhanjaya Persaingan pantau harga ayam


Ravin Palanisamy

MyCC mengalu-alukan sebarang aduan atau perkongsian sebarang maklumat berhubung isu harga ayam daripada pengguna dan perusahaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2023.

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) akan memantau aktiviti industri ayam susulan keputusan kerajaan menghentikan subsidi dan kawalan harga ayam berkuat kuasa 1 November.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata tempoh peralihan itu akan mencerminkan peralihan harga ayam daripada siling tetap RM9.40 sekilogram kepada struktur harga dipacu pasaran.

“Setakat ini, kita lihat persaingan dalam pasaran ketika ini menunjukkan tanda-tanda positif.

“Pantauan MyCC terhadap bekalan ayam tidak menunjukkan sebarang gangguan dan harga ayam pada dua hari pertama tempoh peralihan antara RM6.49 sekilogram hingga RM11.00 sekilogram,” kata Iskandar dalam satu kenyataan hari ini.

Putrajaya mengumumkan harga siling ayam dan telur ditarik balik bagi membolehkan kuasa pasaran menentukan harga.

Tetapi pada Isnin, Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu berkata subsidi dan kawalan harga akan kekal bagi telur.

Beliau juga berkata suruhanjaya itu tidak menerima sebarang aduan sehingga kini.

“Sambil mengakui wujudnya persaingan dalam pasaran, kami akan terus memantau dengan teliti pasaran bagi sebarang tanda-tanda tingkah laku antipersaingan.

“Pemansuhan subsidi dan harga siling tidak boleh diambil kesempatan.

“Sama seperti siasatan yang dijalankan oleh MyCC tahun lepas melibatkan pengilang makanan ayam, kami akan bertindak sekiranya pasaran menunjukkan sebarang petunjuk gangguan persaingan oleh mana-mana pemain dalam peringkat rantaian bekalan,” kata Iskandar.

Iskandar juga berkata MyCC bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan (KPKM).

Beliau berkata kementerian ini bersedia untuk menyediakan MyCC akses kepada data penting yang akan membolehkan suruhanjaya itu mengesan dan bertindak balas terhadap sebarang tanda gangguan pasaran dalam aktiviti kartel tertentu dalam pasaran.

“MyCC memahami kepentingan ayam berkhidmat sebagai salah satu sumber protein utama untuk pengguna di Malaysia.

“Kami tetap berdedikasi untuk memastikan wujudnya persaingan dalam pasaran untuk kepentingan terbaik pengguna,” katanya.

Iskandar berkata MyCC mengalu-alukan sebarang aduan atau perkongsian sebarang maklumat berhubung isu berkaitan daripada pengguna dan perusahaan.

Beliau berkata mereka boleh berbuat demikian melalui laman web MyCC di www.mycc.gov.my atau mana-mana cara lain yang memudahkan mereka.

Dari Februari tahun lalu hingga September, subsidi ayam dan telur menyaksikan kerajaan menanggung sebanyak RM3.8 bilion. – 2 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen