MyCC gesa henti spekulasi siasatan industri ayam


MyCC menyatakan terdapat kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai definisi 'kartel' di bawah Akta Persaingan 2010. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2022.

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) menafikan mereka sedang menyiasat ahli politik tertentu berhubung siasatan terhadap industri ayam.

Menegaskan pihaknya memandang serius penyebaran maklumat tidak tepat dan mengelirukan, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata siasatan berkaitan perkara itu sedang berjalan lancar dan hanya menumpukan kepada sekumpulan pemain industri ayam dengan tingkah laku mereka mungkin menimbulkan isu persaingan tertentu di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

“Anggapan MyCC sedang menyiasat ahli politik tertentu hanya spekulasi semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat juga kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai definisi ‘kartel’ di bawah Akta Persaingan 2010.

“Kartel dibentuk melalui perjanjian sulit antara pesaing dalam pasaran sama. Sebelum mana-mana kartel boleh dibentuk, perlu ada sekurang-kurangnya dua pesaing yang bersetuju bersekongkol untuk tidak bersaing dalam pasaran berkaitan. Biasanya, kumpulan pesaing ini bersetuju, antara lain, untuk menetapkan harga produk mereka pada harga sama atau membahagikan pasaran mereka atau mengehadkan pengeluaran mereka,” katanya.

Iskandar berkata, kartel bukanlah monopoli dan begitu juga sebaliknya dengan monopoli satu perusahaan yang mempunyai kawalan sepenuhnya dalam sesuatu pasaran produk atau perkhidmatan.

“Jika ada lebih daripada seorang pemain dalam pasaran itu, satu atau lebih daripada satu perusahaan boleh berada dalam kedudukan dominan jika mereka memegang lebih kurang 60% pasaran. Oleh itu, percubaan untuk menyamakan kartel dan monopoli sebagai satu konsep yang sama salah sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, MyCC berharap orang ramai dan rakan media memahami kerumitan penyiasatan yang membabitkan ramai pemain dalam rantaian bekalan yang luas dengan pelbagai subsektor.

“Penyiasatan yang teliti dan terperinci diperlukan dan ia mungkin mengambil masa. Kami menggalakkan pihak yang merasakan mereka terbabit dalam amalan kartel dalam industri ayam datang ke MyCC untuk memohon kelonggaran di bawah Seksyen 41 Akta Persaingan 2010 sebelum mereka disiasat,” katanya yang menggesa semua pihak supaya berhenti daripada membuat sebarang spekulasi bagi mengelak gangguan terhadap penyiasatan MyCC dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

MyCC turut menggalakkan perusahaan, pihak berkepentingan yang berkaitan dan orang ramai untuk tampil ke hadapan dalam membantu MyCC dengan pihak yang berminat dinasihatkan menghubungi MyCC di talian 03-2273 2277 (IED) atau emel di [email protected].

Media tempatan sebelum ini melaporkan campur tangan politik sejak sekian lama dalam isu membabitkan dominasi kartel dalam industri penternakan ayam di seluruh negara menyebabkan pihak terbabit terus bermaharajalela.

Laporan media berkenaan turut mendedahkan kartel juga menguasai pasaran harian berjumlah 1.5 juta ekor ayam, iaitu 70% daripada keseluruhan 2.2 juta ekor ternakan itu yang dijual di seluruh negara setiap hari. – Bernama, 29 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen