24 isu tiris dan hilang dana awam dikenal pasti, kata Ramkarpal


Ravin Palanisamy

Ramkarpal Singh berkata sebanyak 24 kes ketirisan, kehilangan dana awam dan pembaziran serius dikenal pasti daripada tujuh Laporan Ketua Audit Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2023.

SEBANYAK 24 isu ketirisan, kehilangan dana awam dan pembaziran serius dikenal pasti daripada tujuh Laporan Ketua Audit Negara, kata Ramkarpal Singh hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata ketirisan, kehilangan dana awam dan pembaziran meliputi pelbagai kementerian, agensi serta jabatan di peringkat persekutuan dan negeri.

“Ia dikategorikan sebagai isu punitif,” kata Ramkarpal di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kelemahan dalam pengurusan kontrak, pengurusan perolehan, pengurusan program projek, kelemahan pengurusan wang dan ketidakpatuhan terhadap peraturan adalah antara isu yang dibangkitkan dalam laporan itu.

“Sehingga 30 Oktober 2023, 12 isu disiasat. Dua disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 10 lagi disiasat oleh jawatankuasa khas siasatan dan jawatankuasa siasatan dalaman diselaraskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“12 lagi isu masih dalam siasatan. Lima daripadanya sedang disiasat SPRM, enam oleh polis dan satu oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC),” katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini seorang penjawat awam didakwa di mahkamah pada 16 April 2023 atas kesalahan salah guna kuasa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 manakala 25 lagi penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib.

Ramkarpal menjawab soalan Wong Kah Woh (Taiping-PH) yang meminta kerajaan menyatakan tindakan yang diambil dalam menangani isu yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021.

Sebagai langkah ke hadapan, ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) pada 6 Julai lalu memutuskan Laporan Ketua Audit Negara perlu dibentangkan secara berkala kepada menteri dengan format laporan baharu yang lebih tersusun dan terperinci.

“Ini supaya setiap isu yang dilaporkan dapat diambil tindakan secara berkesan oleh setiap menteri atau agensi,” katanya.

Ramkarpal juga berkata beberapa agensi bertindak mengikut cadangan yang diberikan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Yang pertama oleh Jabatan Kastam Malaysia di mana Laporan Ketua Audit Negara pada 2021 melaporkan duti Kastam berjumlah RM72.32 juta terkurang kutipan bagi tempoh 2015 hingga 2021 kerana tidak memenuhi syarat pemilikan pemastautin kenderaan tersebut.

“Jabatan Kastam menambah baik prosedur operasi standard untuk menilai kriteria pemastautin.

“Kedua berhubung Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Laporan Ketua Audit Negara pada 2021 menyatakan laporan penalti bagi perkhidmatan mencetak dokumen terkawal berjumlah RM149,178.00 tidak dikutip bagi tempoh 2019-2020.

“Berdasarkan syor Ketua Audit Negara, JPJ kini memperoleh semula RM72,667 daripada jumlah itu dan terus melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap terma perjanjian,” tambahnya. – 30 Oktober, 2023



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen