Kenyataan kerajaan pusat akan bertukar jika Perikatan menang PRN tidak betul, kata Ramkarpal


Ramkarpal Singh berkata kenyataan Ahmad Faizal Azumu bahawa tidak mustahil kerajaan Pusat akan bertukar sekiranya PN memenangi semua PRN Sabtu ini adalah tidak betul. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2023.

KENYATAAN Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu bahawa tidak mustahil kerajaan Pusat akan bertukar sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi semua Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini adalah tidak betul.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh ketika ditemui Bernama hari ini berkata sekiranya gabungan pembangkang itu menang di enam negeri pada PRN ini, ia tiada kaitan dengan kedudukan kerajaan Pusat.

Sebaliknya katanya semua ahli Parlimen terikat dengan undang-undang Akta Lompat Parti.

Beliau berkata di bawah undang-undang Akta Lompat Parti itu mana-mana ahli Parlimen tidak boleh lompat parti secara individu kerana undang-undang tersebut berkuat kuasa di peringkat persekutuan walaupun ada beberapa negeri belum melaksanakannya.

Ramkarpal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Faizal yang juga Timbalan Pengerusi PN, semalam bahawa terdapat proses undang-undang yang membolehkan pertukaran kerajaan di peringkat Pusat berlaku sekiranya PN menang pada PRN ini walaupun terdapat Akta Lompat Parti.

Terdahulu Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Batu Lanchang, di George Town bersama-sama Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying bagi meninjau kerja membaiki dan menaik taraf keadaan siling serta bumbung 10 buah kelas yang rosak dan siap dibaiki.

Esok adalah hari mengundi awal dan Sabtu ini hari mengundi PRN di Kelantan,Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kuala Terengganu. – Bernama, 7 Ogos 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen