Keluarga tahanan Sosma tamatkan mogok lapar selepas bertemu Ramkarpal


Lebih 60 ahli keluarga tahanan Sosma mengadakan pertemuan dengan Ramkarpal Singh di luar penjara Sungai Buloh, Selangor. – Gambar Facebook, 3 Ogos, 2023.

LEBIH 60 ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) menamatkan tindakan mogok lapar di luar penjara Sungai Buloh, Selangor selepas mengadakan pertemuan dengan Ramkarpal Singh.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu bertemu dengan mereka petang semalam dan memberi penerangan berkenaan situasi yang berlaku.

“Hasil penerangan saya kepada banduan serta ahli keluarga mereka, tindakan mogok lapar tersebut oleh para tahanan dan juga ahli-ahli keluarga mereka ditamatkan sekitar jam 2 petang semalam.

“Saya amat bimbang akan keadaan kesihatan mereka dan bersyukur apabila melihat mereka makan dan minum,” katanya dalam satu catatn di Facebook.

Kumpulan itu tampil menyokong 69 tahanan di mana 34 di penjara Sungai Buloh dan 35 di penjara Alor Setar memulakan mogok lapar pada Ahad menggesa penahanan ahli keluarga mereka dihentikan.

Mereka dilaporkan berkata beberapa ahli keluarga ditahan sehingga tiga tahun tanpa perbicaraan.

Mereka mahu tahanan dibebaskan segera.

Dalam satu kenyataan Ramkarpal meminta keluarga itu menghentikan mogok kerana proses pembaharuan undang-undang sedang dijalankan demi ahli keluarga mereka.

Pentadbiran Najib Razak memperkenalkan Sosma pada 2012 apabila ia memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Pada Selasa Lawyers for Liberty (LFL) mengecam kewujudan berterusan Sosma, mendakwa Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kerajaan perpaduan sekarang hanya mahu undang-undang itu dimansuhkan ketika ia menjadi pembangkang.

Pengarah LFL Zaid Malek berkata gabungan itu membuat pusingan U apabila mengambil alih kuasa.

“Pendirian yang dipegang PH ketika menjadi pembangkang (adalah memansuhkannya), yang mereka tinggalkan serta-merta sebaik sahaja mendapat kuasa.

“Hampir seminggu selepas memegang jawatan, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail daripada PKR mengisytiharkan Sosma akan dikekalkan. Ia adalah ibu kepada semua pusingan U.

“Adalah meloyakan gabungan yang dipanggil reformis begitu cepat beralih arah daripada janji dan prinsip mereka selepas memegang kuasa, walaupun menunjukkan kepada masyarakat Malaysia yang mereka adalah penyokong kedaulatan undang-undang dan kebebasan asasi,” kata Zaid dalam satu kenyataan semalam. – 3 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen