PKR tiada masalah ahli politik terajui GLC


Melati A. Jalil

TIADA masalah untuk ahli politik menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), selagi mana mereka telus dalam kerja mereka, kata Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Siapa sahaja yang ketuai, sama ada bebas atau anda seorang ahli politik atau bukan, anda perlu telus dalam semua perkara yang anda lakukan dan semua itu ialah tanggungjawab (anda).”

“Jadi patutnya tak ada masalah walaupun ahli politik yang ketuai GLC,” katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Wan Azizah diminta mengulas saranan lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menggesa kerajaan menghentikan amalan lama melantik ahli politik menjadi pengerusi GLC kerana mereka akan membawa tabiat politik mereka ketika menguruskan perniagaan.

Dalam isu berlainan, Wan Azizah berkata perwakilan PKR di Kelantan masih belum meletakkan jawatan kerana wujudnya masalah teknikal pentadbiran di negeri itu, dan mereka dijangka akan berbuat demikian pada akhir Julai nanti.

“Saya fikir pentadbiran Kelantan melakukan kerja mereka mengikut suku tahun dan (berdasarkan) apa sahaja proses atau prosedur operasi piawai, mereka tunggu sampai tengah suku tahun, jadi saya rasa akhir Julai,” katanya menambah yang perkara itu sudah diselesaikan.

Biro politik parti itu mengarahkan semua lantikan politik di Kelantan meletakkan jawatan susulan keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan PKR. – 9 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen