Penasihat SPRM gesa Putrajaya henti lantik ahli politik ketuai GLC


PUTRAJAYA dinasihatkan berhenti melantik ahli politik untuk mengetuai syarikat berkait kerajaan (GLC), ketika krisis melanda Felda Global Ventures Holdings (FGV).

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata, kebanyakan ahli politik akan membawa tabiat politik mereka ke dalam perniagaan yang diuruskan, menyebabkan amalan tidak bertanggungjawab berlaku.

“Lembaga Penasihat ingin menyatakan kebimbangan yang amat sangat mengenai amalan kerajaan sejak sekian lama melantik ahli politik sebagai pengerusi GLC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Dalam setiap keadaan, mereka jatuh di bawah standard etika yang kita harapkan daripada mereka yang memegang amanah.”

Beliau berkata, walaupun terdapat ahli politik beretika, kebanyakan mereka tidak mempunyai disiplin sebagai pemimpin korporat yang baik dan disebabkan itu Putrajaya harus menghentikan amalan ini bagi mengekang lebih banyak rasuah berlaku.

“Sebahagian besar ahli politik, membawa tabiat politik mereka ke dalam pekerjaan.. yang bertentangan dengan syarat kepimpinan korporat berdisiplin, berdasarkan kepercayaan tanpa kompromi.

“Kerajaan dengan jelas bertanggungjawab untuk menghapuskan amalan tidak sihat ini yang tidak membantu dalam memerangi rasuah,” kata Tunku Aziz.

Mengulas mengenai kemelut FGV, LPPR memuji SPRM kerana tindakan pantas mereka menyiasat kes berprofil tinggi ini.

Tunku Aziz juga berkata, disebabkan kes itu mempunyai “kepentingan awam yang besar”, kebimbangan mengenai amalan rasuah dalam FGV perlu segera ditangani.

Pada Isnin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Zakaria Arshad dan tiga lain dipaksa bercuti sehingga siasatan dalaman berhubung pembayaran lewat urus niaga Delima Oil Products Sdn Bhd dan syarikat Afghanistan, Safitex selesai.

Zakaria kembali melawan dan menggesa SPRM menyiasat FGV. SPRM memanggil Zakaria ke Ibu Pejabat mereka pada Rabu untuk memberikan keterangan.

Semalam SPRM ke Ibu Pejabat Felda untuk merampas beberapa dokumen mencurigakan mengenai urus niaga FGV. 

Putrajaya pada Rabu turut mengumumkan melantik Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Idris Jala untuk menyelesaikan kemelut dalam FGV.  – 9 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen