Polis siasat dakwaan Muhyiddin berkenaan Pakatan, kata Saifuddin


Ravin Palanisamy

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata ketua polis negara tidak mengeluarkan kenyataan menghalang orang ramai bercakap mengenai isu berkaitan 3R. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2023.

MENTERI Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menolak dakwaan Muhyiddin Yassin berkenaan ketua polis negara (KPN) mengeluarkan kenyataan menghalang orang ramai bercakap mengenai isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Sebaliknya, Saifuddin menggesa orang ramai termasuk wakil rakyat supaya bertindak bijak dan berhati-hati ketika membuat kenyataan berkaitan isu 3R.

“Individu boleh meluahkan pandangan demi memartabatkan negara, agama dan mencipta keharmonian dalam negara ini.

“Jika mahu bercakap tentang negara, kasih sayang kepada rakyat, itu tidak ada salahnya. Mereka boleh terus bercakap,” katanya di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata kenyataan berbaur sensitif berkenaan isu 3R boleh dikenakan tindakan.

Beliau merujuk kepada ucapan Muhyiddin pada satu program Perikatan Nasional (PN) pada tahun lalu sebagai contoh.

“Kenyataan seperti ‘Undi Pakatan Harapan (PH) bahaya kerana mereka taja kumpulan yahudi dan perjuangan Kristianisasi di Malaysia’, itu tidak dibenarkan.

“Pada 17 November, 2022 satu laporan dibuat berkaitan ucapan Pagoh (Muhyiddin) di program PN di Padang Bukit Muar, Parit Jawa.

“Polis akan hanya melakukan siasatan jika ada laporan dibuat, dipercayai kenyataan berkenaan ada unsur hasutan,” katanya.

Saifuddin menjawab soalan Muhyiddin (Pagoh-PN), yang bertanya tentang perundangan digunakan untuk melarang rakyat Malaysia menyentuh isu 3R.

Muhyiddin mendakwa KPN Razarudin Husain mengeluarkan kenyataan melaran sesiapa pun menyentuh isu 3R.

Katanya, beliau polis memanggilnya sebanyak lima kali berkaitan isu 3R.

Membalas kepada Muhyiddin, Saifuddin berkata bekas perdana menteri itu dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan kenyataan dibuatnya, di mana ada laporan polis dibuat.

“Tidak ada hinanya apabila Tan Sri (Muhyiddin) dipanggil ke balai polis untuk memberi keterangan,” kata Saifuddin.

Saifuddin turut memberikan contoh di mana ahli Parlimen PAS Abdul Hadi Awang pada 30 Julai, 2022 berkata ketika pemerintahan 22 bulan PH, ia cuba menjejaskan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan mencabar kedudukan istimewa Melayu di negara ini. – 23 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen