Feri terkandas tumpahkan minyak diesel di Sweden


Feri Marco Polo TT-Line yang membawa 75 penumpang dilaporkan terkandas di selatan Karlshamn, Sweden. – Gambar Youtube, 23 Oktober, 2023.

SEBUAH feri terkandas di selatan Sweden pada Ahad, menumpahkan diesel sejauh beberapa kilometer, tetapi 75 penumpang kapal itu telah dibawa ke tempat selamat, kata pegawai.

Feri Marco Polo TT-Line terkandas di selatan Karlshamn pada awal pagi, menurut pengawal pantai.

Feri itu “membocorkan bahan api diesel sejauh beberapa kilometer sebelum terkandas”, katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah kabus tebal di kawasan itu menyukarkan untuk mengetahui tahap tumpahan.

Penyiasat sedang meneliti punca kemalangan dan sama ada wujud pelanggaran undang-undang maritim, kata penyiasat kanan pengawal pantai Jonatan Orn kepada radio awam P4.

Feri itu beroperasi di antara pelabuhan Trelleborg dan Karlshamn, tetapi Orn berkata feri itu telah tersasar dari laluan biasa ketika ia terkandas.

Tumpahan minyak telah sampai ke darat pada lewat petang di kawasan pantai di perbandaran Solvesborg, kata pihak berkuasa tempatan.

Agensi Pertahanan Awam Sweden telah dipanggil untuk membantu dan akan mula menyahcemar tapak itu pada hari Isnin, tambah mereka.

Kapal itu didapati berlubang di haluan dan tengah badan kapal,namun seorang pegawai kanan di Agensi Pengangkutan Sweden memberitahu agensi berita TT tiada risiko ia karam. – AFP, 23 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen