MIC bantu kempen calon kerajaan pada PRK Kemaman


Presiden MIC SA Vigneswaran hadir merasmikan persidangan perwakilan MIC negeri Melaka ke-77 di Alor Gajah, Melaka hari ini. – Gambar Facebook Malaysian Indian Congress, 22 Oktober, 2023.

MIC memberi jaminan akan membantu kempen calon kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu Disember ini.

Presiden MIC SA Vigneswaran berkata, ia sebagai komitmen parti itu yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Walaupun pengundi India tidak ramai (di Parlimen Kemaman), kita akan bantu (calon) kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan MIC negeri Melaka ke-77 yang turut dihadiri timbalannya M Saravanan dan Pengerusi MIC Melaka VP Shanmugam.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September yang membatalkan kemenangan calon PAS, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – Bernama, 22 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen