Israel tingkat pengeboman selepas konvoi bantuan masuk Gaza


Trak bantuan kemanusiaan tiba dari Mesir selepas melalui sempadan Rafah dan membawa bantuan ke pusat penyimpanan di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. – Gambaar AFP, 22 Oktober, 2023.

TENTERA Israel semalam mengumumkan akan meningkatkan pengeboman ke atas Gaza beberapa jam selepas trak pertolongan cemas tiba dari Mesir membawa bantuan kepada orang awam di kawasan yang dilanda perang.

Tentera berkata ia bertujuan untuk mengurangkan risiko yang bakal dihadapi tenteranya apabila mereka memasuki Gaza dalam fasa serangan seterusnya peperangan.

Serangan pejuang Hamas mengorbankan sekurang-kurangnya 1,400 orang sementara lebih 200 orang yang lain dijadikan tebusan, menurut pegawai Israel.

Israel bertindak balas melakukan pengeboman tanpa henti yang membunuh lebih 4,300 rakyat Palestin di Gaza terutamanya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Israel turut bertindak memotong bekalan makanan, air, elektrik dan bahan api ke wilayah berpenduduk padat dengan 2.4 juta orang yang sekali gus mencetuskan amaran kemungkinan berlaku malapetaka kemanusiaan berskala besar.

Puluhan ribu tentera Israel dikerahkan ke sempadan Gaza menjelang serangan darat yang dijangkakan bermula tidak lama lagi.

Jurucakap tentera Laksamana Daniel Hagari berkata kepada mulai hari ini mereka meningkatkan serangan dan mengurangkan bahaya.

“Kami perlu memasuki fasa perang seterusnya dalam keadaan terbaik, bukan mengikut apa yang diberitahu oleh sesiapa kepada kami,” katanya.

Semasa lawatan ke briged infantri barisan hadapan, ketua kakitangan Leftenan Jeneral Herzi Halevi berkata tentera bersedia untuk menangani sebarang kejutan yang Hamas sediakan untuk mereka di Gaza.

“Gaza berpenduduk padat, musuh sedang menyediakan banyak perkara di sana – tetapi kami juga sedang bersiap untuk mereka,” kata Halevi.

‘Lebih banyak lagi’ diperlukan

Sebanyak 20 trak dari Bulan Sabit Merah Mesir melalui sempadan Rafah melintasi dari Mesir ke Gaza semalam.

Satu-satunya lintasan ke Gaza yang tidak dikawal oleh Israel itu ditutup semula selepas trak bantuan melepasinya.

Trak bantuan itu menunggu selama beberapa hari di  Mesir selepas Israel bersetuju dengan permintaan daripada sekutu utamanya Amerika Syarikat untuk membenarkan bantuan masuk.

Ketua PBB Antonio Guterres berkata 20 trak itu tidak mencukupi apa yang diperlukan penduduk Gaza dan memberitahu sidang kemuncak keamanan di Mesir bahawa “lebih banyak” bantuan perlu dihantar.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken mengalu-alukan bantuan itu dan menggesa semua pihak untuk memastikan sempadan Rafah dibuka.

Tetapi jurucakap Hamas berkata 20 trak itu tidak dapat memenuhi keperluan Gaza kerana tiada bahan api dibenarkan masuk untuk membantu mengagihkan bekalan kepada mereka yang memerlukan. – AFP, 22 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen