Situasi di Gaza 'malapetaka', kata 5 agensi PBB


Pemandangan udara menunjukkan bangunan yang musnah di bandar al-Zahra di selatan Gaza selepas serangan bom Israel. – Gambar AFP, 22 Oktober, 2023.

SITUASI kemanusiaan di Semenanjung Gaza adalah “malapetaka,” kata lima agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.

Mereka eminta lebih banyak bantuan antarabangsa apabila keadaan semakin merosot di kawasan yang padat dengan penduduk.

Kenyataan mereka dibuat apabila Israel berkata akan menambah serangannya di Gaza untuk meningkatkan tekanan ke atas Hamas dan pegawai kanannya memberi amaran kepada tentera supaya bersedia memasuki wilayah Palestin yang terkepung.

Israel melancarkan pengeboman udara dan darat yang dahsyat ke atas Gaza. Pihak berkuasa Hamas berkata 4,385 orang maut akibat serangan itu.

Kenyataan oleh agensi PBB itu dibuat ketika trak pertolongan cemas tiba di Gaza dari Mesir semalam.

Agensi termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Unicef berkata lebih 1.6 juta orang di Gaza sangat memerlukan bantuan kemanusiaan

“Kanak-kanak, wanita hamil dan warga emas paling berisiko. Hampir separuh daripada penduduk Gaza adalah kanak-kanak.

“Gaza adalah situasi kemanusiaan yang terdesak sebelum permusuhan terbaharu.

“Ia kini malapetaka. Dunia mesti berusaha lebih banyak membantu,” katanya.

Tiga lagi agensi yang menandatangani kenyataan itu ialah Program Makanan Sedunia, agensi pembangunan UNDP dan UNFPA, dana penduduk. – AFP, 22 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen