Penyunting buku didakwa hina jata negara bebas reman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Siasatan berhubung penerbitan buku 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia', dimulakan sejak 29 Jun 2020 susulan beberapa laporan polis diterima di seluruh negara.– Gambar Facebook, 17 Oktober, 2023.

PENYUNTING buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’, Kean Wong yang ditahan reman untuk siasatan polis awal hari ini dibebaskan lewat petang tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penerbitan buku pada 2020 yang memaparkan imej yang menghina jata negara.

“Dia yang menetap di Sydney, Australia ditahan di pejabat Jabatan Imigresen Kelana Jaya, Selangor semasa memohon memperbaharui pasport.

“Suspek kemudian dibebaskan pada hari ini selepas tamat tempoh reman,” katanya dalam kenyataan media.

Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tambahnya.

Mohd Shuhaily menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

Awal hari ini, Wong direman sehari untuk siasatan berhubung laporan menghina jata negara.

Peguamnya Ivan Teng berkata, polis memaklumkan siasatan dapat diselesaikan dan Wong boleh dibebaskan hari ini.

Polis membuat permohonan reman atas tiga alasan iaitu untuk merakam keterangan, mengumpul data, mesej dari tempoh tiga tahun lalu pada telefon bimbit dan mengambil cap jari serta gambar.

Pada 10 Julai 2020, Ketua Polis Negara ketika itu Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, polis mengesan Wong bagi membantu siasatan berhubung kontroversi kulit buku berkenaan.

Menurutnya, siasatan berhubung penerbitan buku itu dimulakan sejak 29 Jun 2020 susulan beberapa laporan polis diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara. – 17 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen