Kerajaan tidak tarik balik konsesi Bernas


Pada 3 Disember 2020, kerajaan mengumumkan pelanjutan konsesi Bernas bagi pengedaran beras di negara ini untuk tempoh 10 tahun lagi bermula 11 Januari 2021, selepas konsesi terdahulu tamat pada 10 Januari 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2023.

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan kerajaan tidak menarik balik atau membatalkan konsesi Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang dipersetujui selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.

Dalam kenyataan satu kenyataan menafikan dakwaan penarikan balik lesen beras Bernas yang tular diaplikasi WhatsApp hari ini, KPKM memaklumkan aduan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

“Pihak kementerian menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai mesej palsu berkenaan dan perbuatan menyebarkan mesej palsu ini perlu dihentikan,” menurut kenyataan KPKM itu.

Pada 3 Disember 2020, kerajaan mengumumkan pelanjutan konsesi Bernas bagi pengedaran beras di negara ini untuk tempoh 10 tahun lagi bermula 11 Januari 2021, selepas konsesi terdahulu tamat pada 10 Januari 2021.

Pelanjutan konsesi itu turut melibatkan penambahbaikan terma baharu dan penambahan bilangan obligasi sosial daripada lima kepada 10, antaranya memelihara, menyelenggara, mengurus dan mengekalkan stok penimbal beras negara pada paras kuantiti ditetapkan kerajaan; bertindak sebagai pembeli terakhir padi daripada petani serta pengurusan dan pembayaran subsidi kepada petani.

Mengenai dakwaan penguatkuasaan tidak dijalankan, KPKM berkata Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (OP BPT) sedang berjalan dan sehingga kini dua kilang telah disita dan disiasat di bawah  Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Op BPT mula dilaksanakan pada 16 Ogos lepas, dengan diketuai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin.

Operasi yang memberi fokus kepada pemeriksaan dan penguatkuasaan terhadap kilang padi komersial dan pemborong beras itu melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Kawalselia Padi dan Beras, Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Polis Diraja Malaysia. – Bernama, 12 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen