Bekalan beras putih cukup, kata Bernas


Menurut Bernas, bekalan beras putih masih mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 September, 2023.

BEKALAN beras putih di negara ini mencukupi, kata Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Ia berkata bekalan itu mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna di negara ini.

“Dalam menguruskan bekalan beras import, Bernas telah menyalurkan 630,000 tan beras putih dari Januari hingga Ogos, meningkat 38% daripada purata bekalan bulanan sejak lima tahun lepas.

“Ini bermakna bekalan adalah lebih daripada mencukupi, tanpa kerajaan perlu menggunakan stok penimbalnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat berikutan kebimbangan orang ramai terhadap bekalan beras putih tempatan.

Syarikat beras negara itu berkata, peningkatan permintaan beras putih tempatan disebabkan oleh peralihan permintaan oleh pengguna, pembekal kontrak dan pemain industri makanan lain, yang disebabkan oleh perbezaan harga antara beras tempatan dan beras import.

Ia berkata sebagai ‘pembeli pilihan terakhir’, purata pegangan Bernas di pasaran beras tempatan hanya sekitar 10%, manakala selebihnya dibeli dan diproses oleh kilang milik persendirian.

“Bagaimanapun, Bernas sentiasa komited dan menyokong semua program intervensi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan bagi memastikan bekalan beras tempatan,” katanya .

Pada 1 September, Bernas mengumumkan ia menaikkan harga jualan beras putih import di seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan. – 28 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen