AGIHAN dana RM60 juta oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) kepada pesawah bukan perkara baharu kerana ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial yang perlu syarikat itu tunaikan selepas konsesinya disambung 10 tahun lagi, kata Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH).
Pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet pada 5 Disember, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau menegur pemilik Bernas Syed Mokhtar Al-Bukhary supaya berkongsi keuntungan monopoli import beras dengan petani.
Menurut Anwar, hartawan itu bersetuju untuk menyumbang RM10 sebelum akhir tahun ini dan RM50 pada tahun depan.
Bagaimanapun menurut PeSawah, sumbangan itu antara 10 tanggungjawab sosial yang dijanjikan oleh Bernas selepas konsesinya yang sepatutnya tamat pada 10 Januari 2021 disambung oleh kerajaan bawah Muhyiddin Yassin sehingga 10 Januari 2031.
Pengerusi PeSawah Mohd Fuad Yaacob berpendapat sumbangan Bernas itu memang dapat mengurangkan beban pesawah namun ia bukan penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi sejak bertahun lama.
“Peruntukan RM60 juta ini tanggungjawab sosial Bernas semasa kerajaan dulu sambung konsesi, jadi mereka patutnya kena bayar tapi tidak dibayar lagi kepada pesawah.
“Sebab itu kita ucap terima kasih atas keprihatinan perdana menteri, kerana isu ini tidak pernah ditekankan oleh perdana menteri sebelum ini. Sudah tentu peruntukan itu boleh mengurangkan beban pesawah.
“Biarpun begitu kita melihat ia cuma penyelesaian jangka masa pendek sahaja dan bukan penyelesaian secara menyeluruh dan tuntas terhadap masalah sebenar dihadapi pesawah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Mohd Fuad berkata kerajaan baharu ini sepatutnya mengambil inisiatif berjumpa dan berbincang dengan pesawah untuk mengetahui masalah sebenar mereka termasuk menilai semua keberkesanan sistem subsidi sedia ada seperti baja, benih dan racun.
Tambahnya pesawah berdepan dengan pelbagai cabaran seperti masalah kenaikan harga benih dan tidak selaras di semua tempat.
“Ini yang kita kata masalah sebenar yang perlu diatasi. Memang betul kerajaan ada beri banyak subsidi tapi adakah sistem ini berkesan sampai kepada pesawah.
“Subsidi benih, racun dan baja mereka kena tengok kenapa harga subsidi yang diberi kepada pesawah lebih mahal daripada harga dijual kedai di luar.
“Kalau harga subsidi ini lagi mahal bukankah lebih baik kalau kerajaan beri sahaja duit, masukkan terus wang dalam akaun kita dan kita boleh beli sendiri benih,” katanya.
Fuad merujuk aduan pihaknya kepada kerajaan dua tahun lalu apabila penanam padi berdepan masalah kekurangan bekalan benih padi, ketika itu mencecah sampai maksimum RM60 bagi setiap 20kg sedangkan harga subsidi di pintu kilang hanya RM28.
Penanam padi juga berdepan masalah perubahan cuaca yang tidak menentu, termasuk risiko tanah jerlus apabila hujan lebat pada musim kering antara Februari dan Mac.
“Kalau dulu musim padi ini ada kemarau dan basah (hujan atau tengkujuh) tapi sekarang cuaca tidak menentu berubah-ubah menyebabkan keadaan tanah jerlus. Ini masalah baharu yang dihadapi pesawah sekarang.
“Apabila cuaca berubah tanah jadi rosak… mana kita nak dapat hasil. Bagi saya inilah isu yang kerajaan perlu lihat dan tangani secara serius termasuk tambah baik infrastruktur perparitan dan pengairan sawah padi,” katanya.

Bekas menteri pertanian Ronald Kiandee sebelum ini berkata tanggungjawab sosial daripada Bernas merupakan timbal balik yang perlu syarikat itu lakukan selepas kerajaan bersetuju menyambung konsesinya.
Antara 10 tanggungjawab itu adalah menguruskan pembayaran subsidi kepada petani bawah skim subsidi harga padi serta menguruskan skim pengilang, pemborong dan koperasi petani.
Bernas juga bertanggungjawab memperuntukkan dana bagi pembekalan jentera dan mekanisasi padi serta menyediakan bantuan tabung bencana.
Bernas ditubuhkan pada 1996, mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang beroperasi sejak 1971. Pada 1997, syarikat itu disenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur sehingga pada suatu ketika sahamnya dimiliki oleh pelabur asing sebelum kemudiannya dibeli semula oleh Syed Mokhtar. Ia dikeluarkan dari bursa pada 2014.
Mohd Fuad mengingatkan tuntutan petani yang paling utama adalah supaya kerajaan mewujudkan semula LPN untuk membela pesawah dan tidak menyerahkan nasib mereka di tangan syarikat korporat.
Sementara itu, ketua penyelaras Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad juga berkata duit Bernas yang jadi perbincangan sejak minggu lalu hanyalah penyelesaian persetujuan yang tertangguh sebelum ini.
“Semasa perjanjian itu dahulu pesawah tidak mendapat sebarang maklumat tentang tanggungjawab baharu yang disebutkan itu.
“Malah tabung bencana sedia ada yang dimohon pesawah seperti di Kedah, Perak dan Johor kerana banjir yang berlaku dalam dua tahun ini mereka masih tidak dapat pampasan lagi. Kita beranggapan tabung bencana ini belum beroperasi sepenuhnya atau kekurangan wang.
“Kita harap kegagalan ini dapat dilihat semula untuk Bernas memenuhi tanggungjawab sosial mereka,” katanya.
Nurfitri juga berharap kerajaan dan Bernas sedia membuka pintu untuk berjumpa dengan pesawah dan menjelaskan kaedah pengagihan dana bantuan daripada tanggungjawab sosial yang dipersetujui.
“Kita tidak tahu bagaimana cara dan kaedah Bernas nak bahagikan kepada pesawah. Sama ada dalam bentuk bantuan terus atau sebahagian diguna untuk pembangunan infrastruktur, atau ada program tertentu yang kita tidak tahu secara terperinci.
“Sebab itu pesawah perlu diberi penerangan mengenai saluran dana itu dan bila kita jelas senang untuk kita pantau dana tersebut,” katanya. – 11 Disember, 2022.
Komen