Kapal LCS pertama dijangka siap tahun depan, kata Adly Zahari


Ravin Palanisamy

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata kapal pertama LCS dijangka diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada 2026. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2023.

KAPAL pertama daripada kapal tempur pesisir (LCS) dijangka diserahkan secara rasmi kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 2026, kata Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari di Parlimen hari ini.

Beliau berkata penghantaran kapal itu akan diserahkan kepada TLDM secara berperingkat sehingga 2029.

“Aktiviti fizikal pembinaan kapal LCS itu dimulakan pada penghujung September tahun ini.

“Sehubungan itu, kapal LCS pertama dijangka siap pada Ogos tahun depan sebelum ia menjalani dua ujian - Ujian Penerimaan Pelabuhan dan Percubaan Penerimaan Laut - untuk tempoh dua tahun bersama TLDM.

“Justeru kapal LCS akan diserahkan secara rasmi kepada TLDM secara berperingkat mulai 2026 hingga 2029,” katanya kepada Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (Pasir Salak-PN) yang bertanyakan status kapal LCS berkenaan.

Beberapa hari lalu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporan yang didedahkan disiarkan di laman web mereka berkata tempoh pembinaan LCS akan dilanjutkan kepada 83 bulan lagi dan yang terakhir daripada lima LCS hanya akan diserahkan kepada TLDM dalam 2029.

Perkembangan projek pembinaan LCS terhenti sejak 11 Disember 2021 memerlukan pelanjutan tempoh pembinaan dan mengakibatkan peningkatan ketara dalam kos pembinaan keseluruhan.

Laporan itu berkata walaupun jumlah itu dikurangkan kepada lima daripada enam kapal awal, kos pembinaan meningkat daripada RM9.128 bilion kepada RM11.22 bilion.

Menurut PAC perjanjian tambahan keenam yang ditandatangani pada 26 Mei tahun ini tidak mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara.

Adly juga memberitahu Parlimen hari ini kementerian mengambil kira cadangan penambahbaikan oleh PAC terhadap pelaksanaan projek itu. – 12 Oktober 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen