Kenapa Sanusi menjadi hero anak muda Melayu?


Ruhan Shahrir

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menjadi simbol perlawanan, penentangan dan pembangkit semangat buat kelas bawahan Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2023.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bukan hanya sosok. Beliau adalah fenomena. Buat mereka yang memusuhi beliau, Sanusi adalah simbol pengganggu, pengacau dan pemecah-belah masyarakat Malaysia. Sosok kurang ajar, biadap, penderhaka yang perlu didiamkan.

Kalau boleh, disumbatkan ke dalam penjara agar mulut celupar beliau itu tidak lagi menghasut masyarakat Melayu khususnya, dan tidak pula mengancam kestabilan kerajaan yang berkuasa.

Buat mereka yang menyanjungi beliau, Sanusi adalah simbol perlawanan, penentangan dan pembangkit semangat buat kelas bawahan Melayu. Sosok lantang dan berani yang muncul dari sejarah peribadi dan keluarga yang susah serta miskin, yang kemudiannya berjaya menjawat jawatan tertinggi kuasa eksekutif di sebuah negeri.

Satu sosok yang diangkat, dijulang dan dijadikan hero khususnya oleh anak-anak muda Melayu dari kelas bawahan.

Persoalannya kenapa?

Struktur sosial masyarakat Melayu

Pertamanya, kita perlu memahami perubahan struktur sosial dalam masyarakat Melayu. Sebelum kemerdekaan 1957, struktur masyarakat Melayu pada umumnya terbahagi kepada tiga kelas utama iaitu Raja-Bangsawan-Petani.

Selepas kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu, Raja menjadi simbol dan berfungsi dalam bentuk keupacaraan (ceremonial). Fungsi Raja sebelum kemerdekaan kini telah dibatasi oleh Perlembagaan Persekutuan. Manakala bangsawan Melayu pula banyak diserap menjadi pimpinan dalam parti politik (baca: Umno) dan kelas pentadbir-birokrat dalam kerajaan.

Terdapat pembentukan kumpulan-kumpulan kecil kelas menengah rendah Melayu yang berada di sektor perguruan, pengkeranian dan peniaga-kontraktor kecil. Mereka adalah kelompok-kelompok awal yang umumnya menganggotai dan memimpin Umno di tingkat bahagian dan cawangan.

Namun sebahagian besar daripada masyarakat Melayu masih terkandas di kelas lama mereka, yakni kelas petani yang pada umumnya miskin dan ketinggalan baik di bidang ekonomi mahu pun pendidikan.

Keterkandasan kelas petani Melayu termasuk kelas pekerja bawahan Melayu di kota-kota besar pada akhirnya terzahir sebahagiannya menerusi peristiwa rusuhan etnik 13 Mei 1969 yang kemudiannya menghasilkan pula rekayasa sosial terbesar di dunia, yakni Dasar Ekonomi Baru (DEB).

DEB berjaya membesarkan kelas menengah Melayu. Sama ada kelas menengah yang bergantung kepada kerajaan mahu pun kelas menengah yang mandiri. Namun perubahan struktural masyarakat Melayu daripada kelas petani kepada kelas menengah tidaklah berlaku sepenuhnya.

Sebahagian daripada kelas petani Melayu masih ada yang belum berjaya untuk “naik kelas”. Generasi kelas petani yang berikutnya terus menjadi petani dengan pekerjaan seperti pesawah padi, penoreh getah, nelayan, pekebun kecil, kerja-kerja kampung dan seumpamanya.

Manakala sebahagian lagi menerusi proses pembandaran dan perindustrian berubah kepada kelas pekerja bawahan di kilang-kilang, pekerja rendah pejabat, peniaga kecil, buruh, pekerja sambilan, pekerja bawahan di sektor swasta dan pekerja sektor ekonomi-gig seiring dengan perkembangan kapitalisme dan pasaran.

Secara relatifnya kelas menengah Melayu berkembang tetapi kelas bawahan Melayu juga turut membesar seiring dengan pertumbuhan populasi masyarakat Melayu.

Pertembungan Umno dan PAS

Dalam struktur masyarakat Melayu yang terbelah mengikut kelas sosio-ekonomi sebeginilah Umno dan PAS beroperasi pada awalnya. Jika Umno mewakili kelas bangsawan-birokrat-menengah rendah-peniaga-kontraktor Melayu, PAS pula mewakili kelas petani dan bawahan Melayu.

Dipimpin sebahagian besarnya oleh tokoh-tokoh agamawan yang menguasai pula institusi-institusi agama seperti masjid, surau, sekolah-sekolah pondok dan agama rakyat, yang merupakan institusi penting di dalam struktur sosial masyarakat Melayu, pengaruh PAS cukup besar walaupun terdapat pasang-surutnya di dalam persaingan politik pilihan raya.

Kelas petani dan bawahan Melayu khususnya di negeri-negeri jantung Melayu seperti Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis dan sebahagian daripada Perak Utara adalah tapak atau basis utama PAS.

Tapak PAS di kawasan-kawasan tersebut bukan baru dibina. Ia sudah lama terbentuk sejak puluhan tahun dahulu dan berakar kuat di dalam masyarakat yang diwakilinya. Meskipun terdapat perubahan sosio-ekonomi dalam masyarakat Melayu namun PAS tidak pernah meninggalkan tapak asal mereka itu.

Malahan generasi anak-anak Melayu dari keluarga kelas petani dan bawahan Melayu itu yang kemudiannya “naik kelas” khususnya menerusi peluang pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi hasil daripada DEB, sebahagiannya diserap ke dalam struktur kepimpinan PAS sama ada sebagai agamawan atau pun teknokrat. Selebihnya tetap menjadi penyokong.

Sanusi lahir, membesar dan kemudiannya “naik kelas” dalam struktur sosio-ekonomi dan politik masyarakat Melayu yang sebegitu rupa. Diserap ke dalam struktur kepimpinan PAS secara berperingkat-peringkat sehingga pada akhirnya beliau kini menjadi Menteri Besar Kedah. Bukan hanya selaku Menteri Besar, beliau juga dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya untuk Perikatan Nasional.

Memahami struktur sosial masyarakat Melayu akan memudahkan kita untuk menjelaskan persoalan kenapa Sanusi menjadi hero anak-anak muda Melayu khususnya mereka yang datang dari kelas bawahan.

Sanusi cerminan kelas bawahan Melayu

Sanusi lahir bukan daripada keluarga senang. Ayah beliau cuma kerja kampung. Menerusi kerja kampung yang bermacam-macam itulah beliau menyara 13 orang anaknya termasuklah Sanusi.

Pendidikan Sanusi juga biasa-biasa sahaja. Malahan pernah dua kali dibuang oleh dua sekolah yang berbeza. Beliau sendiri mengakui bahawa beliau adalah “budak buas dan nakal”.

Keputusan SPM beliau tidaklah bagus. Sekadar boleh menaiki tingkatan enam. Begitu juga dengan keputusan STPM beliau, tidaklah cemerlang. Sekadar mencukupi untuk melayakkan beliau memasuki universiti. Kehidupan remaja beliau dipenuhi sebahagian besarnya dengan melakukan pelbagai kerja-kerja buruh buat mencari duit poket.

Beliau pernah menjadi buruh binaan, membancuh simen, mengangkat batu-bata, awak-awak di sebuah bot ikan bilis, mengangkut sampah, mencuci setor, berniaga pasar malam dan bermacam lagi kerja-kerja bawahan.

Sekali imbas, kehidupan Sanusi pada suatu masa dahulu tidak jauh berbeza dengan kehidupan anak-anak muda kelas bawahan Melayu di masa kini yang melakukan bermacam-macam kerja yang berstatus rendah.

Cuma Sanusi pada akhirnya berupaya mengharungi arus kehidupan yang keras itu dan berhasil menjawat jawatan Menteri Besar.

Kisah peribadi “asal miskin jadi kaya” dan “asal gagal kemudian berjaya” adalah sebuah naratif yang cukup berbisa dan menyentuh ramai orang. Apatah lagi buat anak-anak muda Melayu kelas bawahan yang saban hari bergelut dengan kehidupan yang keras dan ganas.

Sanusi dahulu adalah diri mereka sekarang. Sanusi sekarang adalah inspirasi dan aspirasi buat mereka.

Sanusi adalah kisah benar kelas bawahan Melayu. Buas, nakal, memburuh dengan pelbagai kerja-kerja rendah dan terpinggir di tanah air mereka sendiri. Sanusi adalah simbol keberanian dan kekurang ajaran dalam melawan mereka yang berkuasa.

Sanusi mengidentifikasi dirinya dengan kisah mereka dan diidentifikasi pula oleh mereka dengan kisahnya. Kisah mereka dan kisah Sanusi bertemu di titik yang sama. Bertaut dalam suatu simpulan perasaan.

Apatah lagi hakikat kedudukan sosio-ekonomi anak-anak muda bumiputera dari kelas bawahan yang sebahagian besarnya etnik Melayu adalah yang terendah berbanding dengan anak muda Cina dan India (Sila rujuk data Jabatan Statistik Malaysia mengenai upah bulanan pekerja formal tempatan untuk suku pertama tahun 2023).

Dalam konteks tersebut, berada di kedudukan sosio-ekonomi yang paling rendah, tidaklah menghairankan jika sekiranya ramai anak-anak muda Melayu kelas bawahan melihat dan menganggap Sanusi sebagai sosok hero yang mewakili mereka.

Bahasa kelas Melayu

Kehidupan kelas bawahan sememangnya keras. Persekitaran mereka juga keras.

Justeru, tidaklah mengejutkan jika bahasa mereka juga turut keras.

Bahasa pengucapan harian yang cenderung keras dan kasar khususnya yang digunakan oleh anak-anak muda Melayu dari kelas bawahan adalah juga bahasa yang selalu digunakan oleh Sanusi dalam ceramah-ceramah beliau.

Acap kali cuplikan-cuplikan video yang disunting dari pentas-pentas ceramah dan kemudiannya disebarkan secara meluas di wadah-wadah media sosial khususnya di TikTok yang merupakan sarana utama anak-anak muda melayari internet, memperlihatkan Sanusi “menganjing”, “membahan” “mencarut” dan menyindir musuh-musuh politik beliau dengan ungkapan-ungkapan bahasa yang dianggap kasar dan tidak sopan.

Buat mereka yang datang dari “kelas berbudaya” ungkapan-ungkapan yang diucapkan oleh Sanusi itu mungkin dianggap sebagai biadap, kurang ajar dan lucah.

Namun buat anak-anak muda Melayu dari kelas bawahan ungkapan-ungkapan Sanusi dalam ceramah-ceramah beliau itu mungkin dianggap sebagai asli, autentik dan datang dari hati tanpa pura-pura atau berlagak sopan.

Malahan istilah dan ayat-ayat “menganjing”, “membahan”, “mencarut” dan “memaki” yang digunakan oleh Sanusi tersebut mungkin sahaja istilah dan ayat-ayat yang sama digunakan oleh mereka di dalam perbualan harian.

Justeru, bahasa yang digunakan oleh Sanusi bukan sahaja dekat dengan mereka tetapi juga diidentifikasikan sebagai sebahagian daripada slanga yang kelas mereka sendiri gunakan.

Dalam konteks ini tidaklah mustahil jika Sanusi ditanggapi oleh anak-anak muda Melayu kelas bawahan sebagai sosok yang mewakili kelas mereka menerusi gaya beliau bercakap, istilah yang beliau gunakan, ayat yang beliau ucapkan dan retorik yang beliau sampaikan.

Sanusi adalah suatu cerminan bahasa anak-anak muda Melayu kelas bawahan yang tidak lagi tersorok di ruang peribadi sesama mereka tetapi telah dirasmikan di ruang awam oleh hero mereka sendiri.

PAS, Sanusi dan kelas bawahan Melayu

Sanusi lahir dari tapak yang sudah dibina dan dibangunkan oleh PAS sejak sekian lama. Tapak yang didukung oleh kelas petani, dahulunya.

Disokong oleh anak-anak muda Melayu kelas bawahan, kininya. Tapak tersebut disiram pula dengan Islam yang merupakan unsur cukup penting buat masyarakat Melayu.

Dari sebuah parti yang memanfaatkan Islam sebagai ideologinya itulah, Sanusi muncul. PAS dan Sanusi buat masa sekarang tidak terpisahkan.

Buat masa hadapan, PAS, Sanusi dan anak-anak muda Melayu kelas bawahan akan terus menjadi cabaran buat Pakatan Harapan serta Umno untuk menangani dan memenanginya.

Jumlah anak-anak muda Melayu kelas bawahan akan bertambah besar pada PRU-16 nanti. Kelas mereka akan membawa jutaan undi. Tidak mustahil jika merekalah nantinya yang akan menjadi penentu kepada siapa yang akan berkuasa di Putrajaya.

Setakat ini Sanusi masih menjadi hero kepada mereka. – 30 September, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen