Media mesti berpegang kepada fakta, kata Fahmi


MEDIA mesti berpegang kepada laporan yang betul berdasarkan fakta, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sambil memberi amaran tiada pas percuma untuk laporan yang berunsur fitnah dan salah.

“Walaupun kita mempunyai kebebasan media dan kebebasan bersuara, ia tidak bermakna kita mempunyai hak bebas untuk memfitnah atau menulis laporan yang salah atau tidak betul.

“Kebebasan akhbar adalah sangat penting kepada kerajaan.

“Pada masa yang sama berpegang kepada fakta juga sangat penting. Terdapat beberapa aduan orang ramai yang disampaikan kepada saya tetapi bukan sahaja kepada saya sendiri tetapi berhubung beberapa laporan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri pelancaran media Ekspo Digital Malaysia 2023.

Beliau berkata terdapat contoh salah lapor semasa pilihan raya negeri baru-baru ini.

Beliau menjawab soalan mengenai kritikan baru-baru ini terhadap arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang merupakan sebuah agensi di bawah bidang kuasanya kepada portal berita untuk menukar atau menghapuskan laporan berkaitan kekecohan di Dewan Rakyat.

Fahmi berkata beliau masih belum menerima taklimat daripada SKMM berhubung perkara itu.

“Saya percaya SKMM mengikut undang-undang dan apa sahaja yang dilakukan adalah dalam sempadan undang-undang.

“Ia tidak merujuk segala-galanya kepada saya sebelum ia mengambil sebarang tindakan. Malah kadangkala (tindakan itu diambil) sempena siasatan (bersama) polis atau (berikut) aduan awam yang diterima,” katanya.

Menteri itu berharap Majlis Media Malaysia dapat membantu menangani isu berkaitan media.

“Pada masa yang sama fakta yang betul juga sangat penting dan itulah sebabnya kami percaya bahawa mungkin Majlis Media Malaysia akan menjadi jalan yang sangat baik untuk membincangkan dan menyelesaikan beberapa isu… kita berharap pada tahun depan kita boleh membawa rang undang-undang itu ke Parlimen dan meluluskan undang-undang untuk wartawan.

““Saya perlu mendapatkan sedikit taklimat daripada mereka dahulu, sebelum saya boleh mengulas tetapi saya menghormati pandangan wartawan, sama ada mereka wartawan veteran atau muda dan bagi saya semua wartawan adalah penting dan kebebasan akhbar adalah suatu yang sangat penting kepada kerajaan,” katanya.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini Fahmi dan SKMM sering dikritik berhubung tindakan terhadap beberapa agensi berita dan akaun media sosial yang mengkritik kerajaan. – 25 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen