Jangan duduk rumah saja makan beras import, Akmal sindir persatuan pengguna


Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata cadangan mengehadkan pembelian beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia tidak harus dilihat sebagai tidak berperikemanusiaan kerana isu ini melibatkan kepentingan rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2023.

LARANGAN penjualan beras putih tempatan kepada warga asing hanya langkah sementara bagai menyelesaikan masalah kekurangan bekalan bekalan bahan makanan ruji itu, tegas Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

Cadangan itu tidak harus dilihat sebagai tidak berperikemanusiaan kerana isu ini melibatkan kepentingan rakyat negara ini, katanya.

“Langkah tidak berperikemanusiaan katanya?

“Lagi tidak berperikemanusiaan bila rakyat Malaysia hanya mampu tengok sahaja warga asing beli beras tempatan yang disubsidi oleh kerajaan.

“Bila beras dah cukup dan ada lebihan, bagilah siapa nak beli, ini isu beras tempatan tak cukup ya Datuk,” tulis Akmal di Facebook malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Jacob George kelmarin, yang berkata cadangan mengehadkan pembelian beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia tidak berperikemanusiaan kepada warga asing yang menetap di negara ini. 

George dilapor Berita Harian sebagai berkata cadangan itu juga dikhuatiri boleh mencetuskan huru-hara.

Mengulas lanjut, Akmal berkata presiden CASSA itu sepatutnya turun ke lapangan bagi mendapat gambaran sebenar isu yang sedang berlaku.

“Mohon beliau pergi turun ke bawah dan lihat sendiri, bukan hanya duduk kat rumah sambil makan beras import.” 

Cadangan Akmal supaya warga asing dilarang beli beras putih tempatan juga ditolak Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin lalu, Mohamad berkata warga asing  turut memainkan peranan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Jangan lupa mereka bekerja, berkhidmat untuk membangunkan negara kita,” katanya. – 22 September, 2023.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen