Pemuda Umno tumpu kempen berasas fakta, kata Akmal


Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sentimen yang menyentuh isu 3R harus dielakkan semasa kempen pilihan raya kerana ia hanya memecah belahkan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai 2023.

PEMUDA Umno akan memberi tumpuan kepada kempen yang berasaskan fakta secara matang serta tidak menyentuh isu-isu berkaitan 3R (agama, institusi diraja, kaum) pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri, bulan depan.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berkata sentimen yang menyentuh isu 3R harus dielakkan semasa kempen pilihan raya kerana ia hanya memecah belahkan rakyat.

“Rakyat hari ini harapkan suatu perubahan politik yang jauh lebih matang yang boleh dihasilkan calon Pemuda, jadi jangan terikut-ikut dengan gaya dan politik yang tidak matang kerana rakyat mahu melihat masa depan negara yang bergantung kepada generasi pemimpin muda hari ini.

“Kali ini tolong jangan sampai bagi rakyat jemu dengan orang politik yang tidak habis-habis berpolitik secara tidak matang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno hari ini.

Mengenai senarai nama calon Pemuda Umno yang diumumkan Barisan Nasional untuk PRN enam negeri ini, Muhamad Akmal berkata 23% calon daripada jalur Pemuda itu menggambarkan keterbukaan parti terhadap bakat muda Umno.

PRN membabitkan negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon Sabtu ini. – Bernama, 27 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen