Mat Sabu tidak setuju cadangan sekat warga asing beli beras tempatan


Ravin Palanisamy

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata warga asing juga perlu makan dan mereka turut menyumbang kepada pembangunan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2023.

PUTRAJAYA menolak cadangan seorang exco Melaka untuk melarang warga asing membeli beras tempatan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata warga asing juga perlu makan dan mereka turut menyumbang kepada pembangunan negara.

“Tidak dibuat keputusan lagi, sebab warga asing pun perlu makan.

“Jangan lupa mereka pun berkhidmat untuk keperluan negara kita,” kata ahli Parlimen Kota Raja itu dalam ucapannya semasa sesi khas Parlimen mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang-Perikatan Nasional) sama ada kerajaan akan mempertimbangkan cadangan itu.

Minggu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Dr Akmal Saleh mencadangkan kerajaan mengehadkan penjualan beras keluaran tempatan kepada rakyat Malaysia sahaja.

Memandangkan kekurangan beras putih tempatan, Akmal yang juga ketua Pemuda Umno berkata dasar seperti itu perlu memandangkan beras itu mendapat subsidi kerajaan.

“Jadi apabila berlaku penurunan bekalan dalam pasaran, rakyat tempatan harus diutamakan berbanding warga asing (untuk membeli beras tempatan).

“Jika kementerian tidak boleh membenarkan ia di seluruh Malaysia, sekurang-kurangnya boleh melaksanakannya di Melaka,” tulis Akmal di akaun Facebook miliknya.

Beberapa kumpulan turut membidas cadangan Akmal itu dengan berkata tidak sepatutnya ada sebarang diskriminasi dalam hal keperluan asas.

Sementara itu, Mohamad juga berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan tidak menemui sebarang bukti beras tempatan dibungkus semula agar dilihat sebagai produk import oleh pemain industri.

Menurut Mohamad, pihaknya melancarkan siasatan berhubung perkara itu berikutan dakwaan pengusaha perniagaan yang tidak bertanggungjawab menukar label pada beras tempatan supaya ia boleh dijual pada harga jauh lebih tinggi.

“Kami melancarkan operasi untuk memastikan peraturan dipatuhi oleh setiap peringkat rantaian bekalan beras.

“Operasi itu termasuk pemeriksaan ke atas kilang beras dan pemborong.

“Bagaimanapun, daripada siasatan ini, kementerian tidak menemui sebarang bukti kukuh untuk membuktikan dakwaan itu,” katanya. – 18 September 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen