Gelombang terhalang di Pulai, Sungai Jeram namun keterpendaman berterusan


Ruhan Shahrir

Perikatan Nasional ternyata gagal untuk membawa gelombang kemenangan di tiga negeri yang mereka kecapi pada PRN yang lepas ke PRK Pulai dan Simpang Jeram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2023.

JANGKAAN saya tepat. Dalam rencana “Keterpendaman Melayu Berterusan” lebih kurang dua minggu lepas saya menyatakan bahawa gelombang Melayu yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan besar terhalang di PRK Pulai dan Simpang Jeram. Benar ia telah pun terhalang.

Namun saya juga menyatakan bahawa keterpendaman Melayu tetap tidak hilang. Ia juga benar.

Penelitian secara kasar data undian daripada keputusan di kedua-dua PRK tersebut jelas menunjukkan keterpendaman Melayu terus berlangsung. Persoalannya, kenapa gelombang berjaya dihalang dan kenapa pula keterpendaman berterusan?

PN ternyata gagal untuk membawa gelombang kemenangan di tiga negeri yang mereka kecapi pada PRN yang lepas ke PRK Pulai dan Simpang Jeram. Secara kasarnya terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada terhalangnya gelombang PN di Johor.

Gelombang terhalang

Pertamanya, demografi pengundi mengikut etnik.

Kedua-dua kawasan yang terlibat dalam PRK Johor baru-baru ini tidak mempunyai majoriti pengundi Melayu yang dominan. Jumlah pengundi Melayu sama ada di Pulai atau pun Simpang Jeram, hanya memiliki majoriti lemah. Di Pulai misalnya, pengundi Melayu kurang lebih hanya berjumlah sekitar 50% sahaja. Manakala di Simpang Jeram pula jumlah pengundi Melayu berada kurang lebih sekitar 55%.

Maknanya di kedua-dua kawasan tersebut, pengundi bukan Melayu menjadi minoriti yang kuat dan berpengaruh untuk menentukan keputusan. Ini ternyata memberi pengaruh yang cukup besar buat kemenangan calon Pakatan Harapan (PH).

Menurut Bridget Welsh, pengkaji daripada Institut Kajian Asia di Universiti Nottingham Malaysia, hampir 99% pengundi dari etnik Cina yang turun membuang undi di kedua-dua kawasan tersebut memberikan undi mereka kepada calon PH.

Pola tersebut sebenarnya meneruskan pola pengundian yang berlangsung di PRU-15 dan juga PRN di enam negeri yang baru lepas. Di kawasan campuran dengan jumlah pengundi Melayu minoriti atau majoriti lemah, PN cenderung tersungkur.

Kedua, jasa yang ditinggalkan oleh sosok allahyarham Salahuddin Ayub, bekas penyandang kerusi Parlimen Pulai dan DUN Sungai Jeram yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Allahyarham menghasilkan dan melaksanakan idea “Menu Rahmah” yang popular di seluruh negara khususnya untuk membantu masyarakat dari golongan berpendapatan rendah bagi menangani masalah kenaikan kos sara hidup.

Idea asal “Menu Rahmah” tersebut kemudiannya diperluaskan lagi mencakupi pelbagai perkara lain yang “dirahmahkan” khususnya dalam usaha beliau sebagai menteri untuk menyelesaikan beberapa kerumitan dan permasalahan ekonomi harian rakyat yang berbangkit.

Jasa besar beliau itu, pada hemat saya, masih diingati dan dikenang oleh ramai orang dan ia membantu calon PH di kedua-dua kawasan tersebut untuk memanfaatkan legasi serta jasa beliau itu bagi meraih sokongan kepada mereka dan seterusnya memastikan pula gelombang PN terhalang.

Umno-PH saling memerlukan

Ketiganya, kerjasama Umno-PH yang sedikit lebih tersusun dan kejap pada PRK kali ini.

Saya secara peribadi turun ke Johor untuk melihat sendiri kempen PRK yang dijalankan oleh Umno-PH di Pulai dan Simpang Jeram. Dapat diperhatikan bagaimana sosok pemimpin tinggi Umno Johor termasuklah menteri besar, yang gigih berkempen menyakinkan pengundi akar umbi mereka untuk memberi sokongan kepada calon PH.

Pentas ceramah yang dianjurkan oleh PH turut disertai oleh pemimpin Umno kawasan dalam usaha mereka untuk meyakinkan penyokong dan pengundi Melayu khususnya untuk memberikan undi mereka kepada calon PH yang bertanding di kawasan tersebut.

Walaupun peralihan undi daripada penyokong Umno kepada calon PH rendah tetapi ia sudah cukup meningkatkan jumlah undi  terima khususnya di kawasan campuran seperti Pulai dan Simpang Jeram.

Ini sedikit sebanyak membuktikan bahawa Umno dan PH saling memerlukan antara satu sama lain khususnya untuk menghalang gelombang PN dari terus merebak ke negeri Johor. Demografi pengundi di Parlimen dan DUN Johor pada umumnya lebih bersifat campuran berbanding bentuk majoriti dominan satu-satu etnik di negeri-negeri jantung Melayu.

Justeru, di Johor kerjasama Umno-PH adalah suatu keperluan jika matlamatnya adalah untuk menghalang kemasukan gelombang PN.

Titah sultan

Keempat, titah Sultan Johor sendiri ketika tempoh waktu berkempen sedang berlangsung untuk masyarakat memberikan lebih banyak masa kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim membangunkan ekonomi negara.

Walaupun dalam konteks Perlembagaan Persekutuan Malaysia, fungsi Raja-Raja Melayu lebih bersifat simbolik dan keupacaraan (ceremonial) namun di negeri Johor khususnya peranan Sultan sangat mempengaruhi baik terhadap masyarakat Johor mahu pun politikus Johor sendiri. Kuasa dan pengaruh baginda tersirat.

Justeru, titah Sultan Johor tersebut boleh ditafsirkan sebagai isyarat buat rakyat Johor memberikan sokongan mereka kepada kerajaan perpaduan dan arahan tersirat buat politikus Umno khususnya untuk membantu calon kerajaan perpaduan daripada PH bagi memastikan “lebih banyak masa” (baca: kemenangan) buat mereka terus dapat mentadbir persekutuan dan negeri Johor.

Peranan istana dalam memastikan gelombang PN terhalang di Johor tidak boleh diketepikan walaupun sukar untuk dibuktikan secara empirikal. Cumanya apakah peranan istana itu datang secara percuma atau pun ada konsesi tertentu yang melibatkan kepentingan istana perlu dilunaskan oleh kerajaan persekutuan dan negeri, tidaklah diketahui. Hanya andaian yang boleh dibuat.

Namun, keterpendaman Melayu bukanlah andaian lagi di dalam keputusan PRK di Pulai dan Simpang Jeram, melainkan ia adalah suatu kepastian.

Keterpendaman berterusan

Gelombang yang dibawa oleh PN terhalang di Johor. Kedua-dua calon PN tewas. Sekali imbas, seolah-olah majoriti yang diperolehi oleh calon-calon PH cukup meyakinkan. Suhaizan Kayat di Parlimen Pulai menang dengan majoriti sebanyak 18,641 undi. Manakala Nazri Abdul Rahman pula menang di DUN Simpang Jeram dengan majoriti undi sebanyak 3,514. Kedua-duanya seperti menang dengan penuh bergaya.

Namun, jika penelitian yang lebih halus dilakukan, kita akan dapati bahawa kemenangan kedua-dua calon PH tersebut lebih kepada kerana sokongan pengundi bukan Melayu.

Sokongan pengundi bukan Melayu yang cukup tinggi (hampir 99% menurut Bridget Welsh) membuatkan calon-calon PH hanya memerlukan sebahagian kecil sahaja undi Melayu untuk menjadikan kemenangan berpihak kepada mereka. Dan itulah yang terjadi.

Menurut kiraan yang dilakukan oleh Bridget Welsh menerusi kaedah analisis data yang menggunakan system of ecological inference, Suhaizan Kayat hanya menerima sebanyak 27% undi Melayu sahaja di Parlimen Pulai. Nazri Abdul Rahman pula mendapat undi Melayu sedikit lebih tinggi iaitu 31%.

Ini juga bermakna 73% pengundi Melayu di Pulai dan 69% pengundi Melayu di Simpang Jeram yang turun membuang undi pada PRK yang lepas telah memilih calon PN. Suatu jumlah yang jelas menunjukkan bahawa keterpendaman Melayu masih berterusan.

Pada PRU dan PRN 2022, Nur Jazlan yang bertanding sebagai calon Umno di Parlimen Pulai ketika itu, telah memperoleh sebanyak 31,726 undi. Manakala Lokman Md Don, calon Umno di DUN Simpang Jeram pula mendapat undi sebanyak 6,062 pada PRN 2022.

Jika Suhaizan hanya menerima 27% undi Melayu, manakala Nazri memperolehi 31% undi Melayu di kawasan masing-masing, persoalan yang boleh ditanyakan ialah ke mana hilangnya sebahagian besar daripada undi Umno tersebut di saat ia bergabung bersama PH di dalam PRK kali ini?

Dari kajian Bridget Welsh sebahagian undi tersebut telah beralih ke PN dan sebahagian lagi kerana tidak keluar membuang undi.

Peratusan keluar mengundi yang rendah bagi kedua-dua kawasan, yakni kurang lebih hanya 47% di Pulai dan 61% di Simpang Jeram, boleh juga ditafsirkan sebagai pengundi penat, lelah, tidak peduli, tidak mendapat cuti kerja dan mungkin juga suatu bentuk protes atau boikot.

Justeru, sebahagian pengundi Melayu di PRK Pulai dan Simpang Jeram sudah beralih ke PN dan sebahagian lagi mungkin saja telah memilih jalan protes atau boikot.

Polarisasi semakin tajam

Jalan di hadapan Malaysia berliku dengan banyak selekoh-selekoh tajam. Keputusan PRU15, PRN di enam negeri dan PRK Pulai serta Simpang Jeram menunjukkan betapa polarisasi pengundian mengikut etnik kian ketara.

Di Johor gelombang PN terhalang. Namun keterpendaman Melayu berterusan.

Di Pelangai apakah polanya tetap sama? Atau Umno bisa bangkit semula? – 17 September, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen