Malaysia: Persekutuan yang terbenih daripada ketakutan


Ruhan Shahrir

Ketakutanlah yang melahirkan Malaysia pada waktu penubuhannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2023.

TIDAK seperti Persekutuan Tanah Melayu yang lahir daripada satu gerakan nasionalisme yang jelas, yakni nasionalisme Melayu, Persekutuan Malaysia sebaliknya lahir daripada suatu bentuk ketakutan.

Tiada sebarang nasionalisme yang menggerakkan kelahiran Malaysia. Hanya ketakutan yang wujud. Ketakutanlah yang melahirkan Malaysia pada waktu penubuhannya.

Konteks kepada ketakutan tersebut adalah perang dingin yang sengit pada era 1950-an hingga 1970-an.

Dua paksi kuasa dunia yang bertarung hebat pada waktu itu ialah antara blok berideologi kanan (baca: kapitalis-liberal) yang diterajui oleh negara-negara Barat bertembung dengan blok berideologi kiri (baca: sosialis-komunis) yang dipimpin oleh China dan Rusia.

Salah satu daripada penzahiran penting kepada pertembungan tersebut adalah Persidangan Bandung 1955.

Persidangan tersebut telah menyaksikan satu perhimpunan besar yang melibatkan negara-negara Asia dan Afrika yang baru merdeka.

Ia disokong kuat oleh salah satu penganjur utamanya iaitu China dalam kerangka mereka melawan kolonialisme dan neo-kolonialisme kuasa-kuasa Barat.

Persidangan yang begitu besar, yang menghimpunkan pula negara-negara dari benua Afrika sehingga benua Asia, tentu sahaja menggusarkan Barat.

Apatah lagi, parti-parti nasionalis-kiri yang memerintah di negara-negara baru merdeka tersebut cenderung mengajukan projek memiliknegarakan semula aset-aset, syarikat-syarikat dan kepentingan-kepentingan ekonomi kepunyaan kolonial di negara masing-masing.

Ini cukup menakutkan Barat. Ini mengancam kedudukan geo-politik strategik mereka.

Gerakan melawan sebarang bentuk kolonialisme dan neo-kolonialisme itu turut mempengaruhi politik di rantau Asia Tenggara yang merupakan laluan perdagangan strategik buat negara-negara barat.

Indonesia misalnya mempunyai Parti Komunis terbesar di Asia selepas China.

Filipina pula sedang menghadapi perang dengan New People’s Army, sayap tentera Parti Komunis Filipina. Di Thailand pula gerakan petani, buruh dan mahasiswa berhaluan kiri serta Parti Komunis Thailand semakin menguat.

Di Singapura, gerakan buruh, kesatuan sekerja dan politik kiri semakin mempengaruhi masyarakatnya.

Malahan di Malaya sendiri, darurat melawan Parti Komunis Malaya sedang berlangsung.

Manakala Vietnam, Laos dan Cambodia pula sudah pun dikuasai oleh parti-parti politik berideologi kiri.

Gelombang kiri yang sedang melanda dunia amnya dan Asia Tenggara khususnya perlu dihentikan.

Teori domino yang digunakan oleh Presiden Eisenhower sebagai dasar luar Amerika Syarikat untuk menyekat kemaraan gerakan politik kiri perlu dilaksanakan di Asia Tenggara.

Projek memiliknegarakan aset, syarikat dan kepentingan ekonomi Barat perlu dihalang. Negara-negara Asia Tenggara yang belum menjadi komunis atau sosialis perlu diselamatkan.

Justeru, Malaya dan Singapura perlu disatukan.

Namun dengan penyertaan Singapura ke dalam Persekutuan Malaysia yang diusulkan itu, demografi etnik antara Melayu dan bukan Melayu khususnya Cina menjadi tidak seimbang.

Etnik Cina akan lebih dominan. Untuk menyelesaikan permasalahan tersebut, maka Sabah, Sarawak dan Brunei dijemput sama, sungguhpun Brunei menarik diri kemudiannya.

Menyatukan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura bukan sahaja dapat mengimbangi dominasi etnik Cina tetapi yang lebih penting ia menjadi penampan yang ampuh kepada ancaman gerakan politik kiri apabila wilayah-wilayah tersebut disatukan di bawah satu pemerintahan terpusat.

Satu bentuk ketakutan blok Barat dan British serta elit-elit politik di Malaya, Sabah, Sarawak, Singapura terhadap gerakan dan ideologi politik kiri.

Kemuncak kepada ketakutan tersebut ialah apabila berlakunya Pemberontakan Brunei pada bulan Disember 1962 yang dilancarkan oleh Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU), sayap tentera kepada Parti Rakyat Brunei, pimpinan A.M. Azahari, sebuah parti berhaluan kiri.

Beberapa siri pertempuran telah berlangsung antara TNKU dan British khususnya di Seria, Temburong dan Limbang yang mengorbankan puluhan nyawa dan lebih daripada 3,000 anggota TNKU ditangkap.

Pemberontakan yang berlangsung selama 10 hari itu akhirnya telah dipatahkan oleh British.

Sungguhpun berlaku hanya 10 hari, Pemberontakan Brunei sudah cukup  untuk menakutkan British dan elit-elit politik di Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Persekutuan Malaysia perlu ditubuhkan segera untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang di Sabah dan Sarawak pula.

Ketakutan elit-elit politik Sabah serta Sarawak terhadap ancaman gerakan politik kiri di wilayah masing-masing di ketika Indonesia memiliki Parti Komunis terbesar di Asia Tenggara dimanfaatkan sepenuhnya oleh British, kepimpinan di Malaya dan Singapura dalam rencana mereka untuk memujuk Sabah serta Sarawak menyertai bersama gagasan Persekutuan Malaysia.

Kelunakan kaedah politik Tunku Abdul Rahman, kekuatan hujah Lee Kuan Yew dan dorongan serta sokongan daripada British telah berjaya meyakinkan elit-elit politik Sabah dan Sarawak bahawa jalan terbaik buat mereka untuk menghadapi ancaman gerakan politik kiri ialah dengan bersama-sama Malaya dan Singapura membentuk Persekutuan Malaysia.

Kurang setahun selepas peristiwa Pemberontakan Brunei tersebut, pada 16 September 1963, Malaysia pada akhirnya ditubuhkan.

Dengan latar sejarah tersebutlah Malaysia dilahirkan.

Malaysia Lahir Tanpa Nasionalisme

Malaysia sebagai sebuah idea terhasil daripada proses sejarah perang dingin. Lahir bukan kerana nasionalisme tetapi kerana ketakutan elit-elit politik Malaya, Sabah, Sarawak, Singapura dan British terhadap gerakan serta ideologi politik kiri.

Tanpa nasionalisme yang mendahuluinya, tanpa sebarang gerakan akar umbi yang sungguh-sungguh menginginkan penyatuan antara Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura, maka wujudiahnya dipersoalkan ketika ia ditubuhkan.

Indonesia dan Filipina membantah keras penubuhan Malaysia. Dengan julukan sebagai sebuah projek neo-kolonialisme, Indonesia melancarkan konfrontasi dengan slogan “Ganyang Malaysia”.

Manakala Filipina pula mengajukan tuntutan hak milik ke atas wilayah Sabah.

Bukan hanya kewujudannya dipersoalkan oleh negara tetangga, keperibadian, rupa wajah dan identiti kebangsaan Malaysia juga turut dipertarungkan oleh negeri-negeri yang membentuknya.

Kerana itulah juga, hanya dua tahun setelah pembentukan Persekutuan Malaysia, Singapura “ditendang keluar” pada tahun 1965.

Keberadaan Singapura dianggap sebagai berpotensi untuk mencetuskan konflik kekerasan etnik yang boleh merobek fabrik masyarakat Malaysia memandangkan demografi antara etnik Melayu dan Cina jumlahnya kurang lebih sama.

Manakala cita-cita elit politik Melayu di Malaya (baca: UMNO) yang ingin mengekalkan kuasa politik Malaysia di tangan etnik Melayu serta meneruskan “kesepakatan bersejarah” atau “kontrak sosial” yang dipersetujui dahulu diperkira akan terhalang dengan kehadiran Singapura khususnya apabila Perdana Menterinya, Lee Kuan Yew, menerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) mula mencabar Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dalam kempen-kempen politik mereka pada tahun 1964 dengan mengusulkan gagasan “Malaysian Malaysia” sebagai “kontrak sosial” baru.

Ketegangan etnik yang berterusan dan ancaman kepada kuasa politik Melayu tersebut menyebabkan Singapura pada akhirnya disingkirkan daripada Persekutuan Malaysia.

Pemisahan

Pemisahan Singapura daripada Persekutuan Malaysia turut mempengaruhi pula elit-elit politik Sabah dan Sarawak pada tahun-tahun 1966-1967 untuk mempertegaskan kemandirian mereka dengan tuntutan-tuntutan autonomi yang lebih luas, hak dan keistimewaan negeri yang lebih besar dan hubungan yang lebih saksama dengan Kerajaan Persekutuan.

Kecenderungan pemisahan daripada dua wilayah Borneo tersebut telah mendorong Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur untuk mengetepikan Ketua Menteri Sabah, Donald Stephens dan menggantikan beliau dengan Tun Datu Mustapha, manakala Ketua Menteri Sarawak, Stephen Kalong Ningkan digantikan dengan Tawi Sli.

Kedua-dua Ketua Menteri baru itu dianggap oleh elit politik Melayu di Semenanjung sebagai lebih mesra dengan Kerajaan Persekutuan.

Di sepanjang kewujudan Malaysia hubungan antara Persekutuan dan dua wilayah Borneo tersebut secara relatifnya bersifat turun-naik, tegang-tenang, tetapi tidak sampai ke tahap melahirkan gerakan pemisah yang serius sepertimana di Aceh dan Papua di Indonesia, Mindanao di Filipina atau Patani di Thailand.

Pada umumnya tuntutan autonomi yang lebih luas akan diajukan oleh Sabah dan Sarawak ketika Kerajaan Persekutuan lemah dan dipendam ketika Kerajaan Persekutuan kuat.

Tanpa nasionalisme yang menggerakkan penubuhan Malaysia, bukan hanya hubungan antara Persekutuan dengan negeri-negeri dan wilayah-wilayah yang membentuknya menjadi rumit, hubungan antara etnik juga turut menghasilkan kerumitan-kerumitannya yang tersendiri.

Tanpa nasionalisme sebagai sebuah idea, sentimen dan gerakan yang berpijak kejap kepada sejarah serta budaya tempatan kerumitan hubungan-hubungan tersebut sukar untuk dirungkaikan secara tuntas meskipun kehidupan pelbagai etnik dan budaya yang ada di Malaysia ini secara relatifnya tenang walaupun renggang.

Kerenggangan tanpa adanya unsur-unsur pengikat yang diperkongsikan bersama boleh melonggarkan Persekutuan Malaysia dan boleh juga meretakkan jalinan hubungan antara komuniti-komuniti pelbagai etnik yang ada di Malaysia.

Justeru, unsur pengikat atau gam yang melekatkan kepingan-kepingan mozek Malaysia yang pelbagai rupa bentuk, wajah dan warna itulah yang perlu sama-sama dicari, disepakati dan dijadikan unsur yang mentakrifkan identiti nasional Malaysia.

Nasionalisme Malaysia Terangkum

Persoalan identiti nasional yang disepakati bersama memerlukan sebuah gerakan yang juga bersifat nasional merentasi batas wilayah, negeri, etnik, agama, budaya, bahasa dan politik kepartian.

Berhadapan dengan cabaran-cabaran ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial pasca-pandemik di zaman pasca-kebenaran yang rumit yang ditandai oleh perpecahan politik di dalam masyarakat mengikut garis etnik, negeri dan wilayah, suatu bentuk gerakan “nasionalisme Malaysia terangkum” sangat diperlukan.

Mungkin tulisan saya empat tahun lalu yang diterbitkan oleh portal The Malaysian Insight dengan judul “Dari Keterpendaman Melayu ke Nasionalisme Malaysia Terangkum” dan diperhalusi semula di zine Kawah Buku boleh dijadikan rujukan untuk kita mengangkat semula wacana nasionalisme dan pembinaan bangsa kepada khalayak awam.

Malaysia lahir tanpa nasionalisme. Ketakutanlah yang mendorong kepada pembentukannya.

Namun ketakutan terhadap ideologi kiri bukan lagi menjadi ketakutan yang dominan sepertimana pada ketika penubuhan Malaysia dahulu.

Ketakutan hari ini lebih cenderung menjurus kepada kekurangan kepercayaan antara kita sesama warga Malaysia.

Kurang kepercayaan antara wilayah-wilayah Borneo dengan Semenanjung.

Kurang kepercayaan antara negeri pantai barat dengan pantai timur Semenanjung.

Kurang kepercayaan antara parti-parti kerajaan dengan parti-parti pembangkang.

Kurang kepercayaan antara generasi muda dengan generasi tua.

Kurang kepercayaan antara komuniti bumiputera dengan bukan bumiputera.

Kurang kepercayaan antara komuniti Muslim dengan bukan Muslim.

Kurang kepercayaan antara komuniti Melayu dengan bukan Melayu.

Kekurangan kepercayaan ini saya percaya sebahagiannya boleh dilunakkan dengan sebuah gerakan nasionalisme Malaysia terangkum.

Namun nasionalisme tidak turun dari langit. Ia perlu dibincangkan dengan gencar, diracik dengan halus dan diwacanakan dengan mendalam bersesuaian dengan proses sejarah serta budaya tempatan yang khas Malaysia.

Menggerakkan nasionalisme Malaysia terangkum tidak seharusnya menjadi tugas negara semata-mata tetapi tanggungjawab semua warganegara yang menumpahkan kasih sayang dan cintanya kepada tanah air yang kita namakan Malaysia.

Selamat Hari Malaysia yang ke-60! – 16 September, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen