SEBANYAK 64% rakyat Malaysia dilaporkan mengalami beberapa bentuk diskriminasi dalam tempoh 12 bulan lalu, menurut hasil tinjauan terbaru oleh Architects of Diversity (AOD).
Status sosio-ekonomi mengatasi jenis diskriminasi yang dihadapi pada tahun lalu dengan 38%, diikuti oleh umur (33%) dan etnik (32%).
Tinjauan mendapati penganut Hindu lebih berkemungkinan mengalami diskriminasi pada kadar 40%, berbanding orang Islam (20%), Kristian (26%) dan Buddha (22%).
“Diskriminasi terutamanya berlaku di media sosial pada 32%, dan di tempat kerja semasa mencari pekerjaan (30%) dan di tempat kerja (29%),” menurut laporan itu.
Laporan itu juga mendedahkan 51% kaum India melaporkan mengalami tahap diskriminasi lebih tinggi berbanding bangsa lain semasa memohon pekerjaan.
“Sebanyak 35% kaum India menghadapi diskriminasi ketika mencari rumah dan 21% menghadapi isu ini apabila berurusan dengan polis,” kata laporan itu.
Tinjauan itu dijalankan dari 4 hingga 23 Ogos, melibatkan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas.
Sebanyak 3,238 daripada 3,241 respons dimasukkan dalam sampel akhir selepas pengecualian respons dengan data demografi tidak sah dan bukan warganegara Malaysia. – 14 September, 2023.
Komen