Kaum India boikot PRK boleh jejas kemenangan Pakatan-BN, kata penganalisis


Ravin Palanisamy

Tunku Mohar berkata gabungan PH-BN tidak seharusnya mengetepikan kepentingan undi kaum India. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 September, 2023.

ADAKAH minoriti India kunci kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram?

Penganalisis tidak pasti memandangkan kemenangan besar Salahuddin Ayub dalam pilihan raya lalu namun aktivis yang mendakwa kerajaan mengabaikan nasib India berkata ia boleh menjejaskan peratusan keluar mengundi dan margin kemenangan.

Penilaian itu selepas gesaan aktivis Arun Dorasamy agar kaum India memboikot PRK Pulai dan Simpang Jeram Sabtu depan sebagai protes terhadap tindakan Perdana Menteri Anwar mengislamkan seorang pemuda India.

Penganalisis Universiti Islam Antarabangsa Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata beberapa insiden oleh kerajaan pimpinan Anwar boleh ‘mencetus’ kepada kaum India menolak PRK akan datang.

Katanya, aktivis tertentu menggunakan perkara sedemikian untuk keuntungan mereka dengan memburukkan lagi perkara itu walaupun trend terkini menunjukkan majoriti pengundi India memilih PH.

“Namun, sejak kebelakangan ini terdapat isu yang menunjukkan seolah-olah nasib kaum India diabaikan, seperti keputusan untuk tidak mencalonkan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P. Ramasamy dalam pilihan raya negeri, kejadian Anwar ‘membuli’ seorang pelajar matrikulasi India dan pengislaman seorang lelaki India.

“Walaupun ini tidak semestinya tindakan yang disengajakan untuk mengecewakan kaum India, beberapa aktivis menggunakan ini untuk mengatakan kegagalan kerajaan perpaduan menangani isu-isu yang membimbangkan kaum India,” kata penolong profesor sains politik itu kepada The Malaysian Insight.

Tunku Mohar berkata gabungan PH-BN tidak seharusnya mengetepikan kepentingan undi kaum India dan mereka perlu didekati untuk meyakinkan mereka komitmen kerajaan untuk membantu.

“Sebarang penurunan peratusan keluar mengundi mungkin memberi kesan negatif kepada PH. Pilihan raya di Malaysia kini menjadi lebih tidak dapat diramalkan,” katanya.

Masyarakat India membentuk kira-kira 12% pengundi di kawasan Parlimen Pulai manakala angka itu menghampiri sekitar 3% di Simpang Jeram.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kerusi Parlimen Pulai mempunyai 44.18% (73,619) pengundi Melayu, 40.46% (67,434) pengundi Cina, 12.31% (20,508) pengundi India dan 3.06% (5,092) etnik lain.

Kerusi DUN Simpang Jeram merupakan kawasan separa luar bandar di bawah Parlimen Bakri yang mempunyai 40,379 pengundi layak, menurut SPR.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Salahuddin yang merupakan Timbalan Presiden Amanah ketika itu memenangi Parlimen Pulai dengan majoriti 33,174 undi dalam pertembungan tiga penjuru, menewaskan calon BN Nur Jazlan Mohamed dan Loh Kah Yong dari PN.

Hampir 71% daripada 165,313 pengundi berdaftar keluar mengundi.

Di Simpang Jeram, Salahuddin menang dalam pertembungan empat penjuru dengan 2,399 majoriti undi di mana hampir 22,000 daripada 40,000 pengundi berdaftar keluar mengundi. – 3 September, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen