Pakatan kekal penguasaan di Parlimen Pulai


Calon Pakatan Harapan, Suhaizan Kaiat melambai kepada penyokongnya selepas diumum pemenang PRK Parlimen Pulai malam ini dengan majoriti 18,641. – Gambar Facebook, 9 September, 2023.

CALON Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dengan majoriti 18,641 undi sekali gus membolehkan parti itu mempertahan kawasan yang dimenangi Allahyarham Salahuddin Ayub sebelum ini.

Suhaizan, yang bertanding buat kali ketujuh dalam pilihan raya, memperoleh 48,283 undi bagi menewaskan dua pencabarnya iaitu Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi yang masing-masing mendapat 29,642 undi serta 528 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya bagi kerusi Parlimen Pulai, Miswan Yunus pada jam 10.09 malam di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan Suhaizan menjadi ahli Parlimen pertama mewakili kerajaan perpaduan yang dibentuk menerusi dukungan gabungan PH-Barisan Nasional (BN).

Keputusan itu turut menyaksikan Samsudin terpaksa berputih mata apabila hilang wang deposit.

Suhaizan, yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor adalah ‘anak didik’ Salahuddin dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham.

Beliau pernah bertanding dalam enam pilihan raya di beberapa kawasan sejak 2004 antaranya Parlimen Parit Sulong, Parlimen Simpang Renggam (2013), DUN Kukup (2018) dan DUN Pulai Sebatang (2022).

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Salahuddin menang dengan majoriti undi 33,174 apabila memperoleh 64,900 undi di kerusi Parlimen Pulai.

Terdahulu, sejumlah 165,509 pemilih berdaftar di Parlimen Pulai layak memilih wakil rakyat baharu bagi menggantikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Sebanyak 47 pusat pengundian dengan 294 saluran bagi Parlimen Pulai dibuka tepat jam 8 pagi dan ditutup pada jam 6 petang tadi. – Bernama, 9 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen