Ucapan saya dimanipulasi, kata Muhyiddin berkait isu fatwa undi Pakatan


Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata beliau hanya berkias menyebut 'saya bagi hukum haram' dalam ceramah di Pulai pada 2 September lalu, dan ia diambil di luar konteks serta dimanipulasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2023.

MUHYIDDIN Yassin menafikan beliau mengeluarkan fatwa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata ucapan beliau dalam ceramah di Pulai pada 2 September lalu diambil di luar konteks dan telah dimanipulasi.

“Mereka telah memanipulasi ucapan saya kononnya saya telah mengeluarkan fatwa haram memberi undi kepada calon PH dalam PRK Pulai,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam ini. 

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu berkata dalam ceramah tersebut beliau tidak mengeluarkan fatwa hukum syarak haram beri undi kepada calon PH, sebaliknya hanya secara berkias menyebut “saya bagi hukum haram”.

“Kerana saya tahu apa yang saya sebut itu bukanlah fatwa hukum syarak, saya selepas itu menyebut “ada esok ni yang mencabar saya ni ikut fatwa mana.

“Sebagai seorang yang faham tentang hukum-hakam agama, saya tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sebarang fatwa agama,” jelas ahli Parlimen Pagoh itu.

Katanya, di Malaysia terdapat badan-badan tertentu seperti Majlis Fatwa yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan fatwa selepas mengadakan muzakarah dengan para ulama’ dan ilmuwan yang pakar dalam bidang-bidang yang berkaitan. 

Tambah Muhyiddin, dalam ucapan panjangnya pada ceramah tersebut beliau menyentuh pelbagai isu yang dihadapi rakyat terutamanya bebanan kos sara hidup yang gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan. 

Sebab itulah beliau menyeru kepada pengundi-pengundi di Parlimen Pulai supaya jangan memberi undi kepada Suhaizan, katanya.

Malah berdasarkan respon hadirin pada malam 2 September lalu beliau yakin mereka tidak mengambil kenyataannya secara serius sebagai fatwa agama. 

“Saya percaya ucapan saya telah diambil secara di luar konteks dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai.”

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kenyataan Muhyiddin itu sedang disiasat kerana berbaur 3R (kaum, agama dan raja).

“PDRM mengesahkan menjalankan siasatan terhadap Muhyiddin yang menyifatkan tindakan mengundi bekas speaker Dewan Undangan Negeri Johor Suhaizan Kayat sebagai haram. Setakat ini, dua laporan polis telah diterima berhubung kenyataan itu.

“Temu janji rakaman percakapan dengan beliau mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah ditetapkan pada 11 September ini di pejabatnya di Bangunan Mida di ibu negara oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan. – 6 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen