Pakatan kekal DUN Simpang Jeram


Nazri Abdul Rahman memenangi Pilihan Raya Kecil DUN Simpang Jeram di Johor dengan majoriti 3,514 undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2023.

CALON Pakatan Harapan (PH) Nazri Abdul Rahman memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini dengan majoriti 3,514 undi.

Timbalan Ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 10,330 undi, manakala calon Bebas yang juga ahli perniagaan S Jeganathan hanya memperoleh 311 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Keputusan itu diumumkan pegawai pengurus pilihan raya DUN Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah pada jam 9.12 malam ini di Dewan Jubli Sultan Ibrahim, Muar.

Menurut data SPR, 40,379 pengundi layak mengundi pada PRK hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, DUN Simpang Jeram dimenangi Salahuddin Ayub daripada PH apabila memperoleh 8,749 undi menewaskan calon BN Lokman Md Don (6,062 undi), Zarul Salleh dari PN (6,350 undi) dan Mahaizal Mahmor dari Pejuang (208 undi).

Kemenangan Nazri, 56, yang pernah menjadi pegawai khas kepada Salahuddin, sekali gus menamatkan impian PN untuk merampas kawasan yang pernah disandang oleh Salahuddin selama hampir dua penggal.

Nazri merupakan seorang jurutera yang berkhidmat di Majlis Perbandaran Muar selama 30 tahun, sebelum menamatkan perkhidmatan sehari sebelum proses penamaan calon diadakan pada 26 Ogos lalu.

PRK Simpang Jeram diadakan susulan kematian Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah pada 23 Julai lalu. – Bernama, 9 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen