Sanusi dakwa wujud 'tangan ghaib' dalam kes rasuah Zahid, Bung Moktar


Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor menggesa pengundi di Pulai dan Simpang Jeram menggunakan kuasa mereka pada pada hari pengundian esok untuk menamatkan ketempangan tadbir urus kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2023.

KETUA Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa wujud “tangan ghaib” mencampuri keputusan mahkamah bagi kes rasuah membabitkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi serta Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad.

Campur tangan itu katanya bukan sahaja membuang masa mahkamah malah merupakan episod sedih dalam tadbir urus kerajaan perpaduan.

“Kedua-dua kes itu ada kes prima facie malah sudah di peringkat bela diri, namun tiba-tiba ada arahan untuk ditarik dan digugurkan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook malam tadi.

Menteri besar Kedah itu mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa lalu yang melepas tanpa membebaskan Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Manakala semalam, Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette dilepas dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Justeru, kata Sanusi, Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan DUN Simpang Jeram esok akan jadi petunjuk sama ada pengundi boleh menerima campur tangan dalam proses pendakwaan kes tiga individu terbabit.

“Saya mengajak pengundi di Pulai dan Simpang Jeram untuk menoktah PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional).

“Walaupun ini tidak akan mengubah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri secara serentak dan serta-merta, tetapi setidak-tidaknya ini akan memberi petunjuk dan mesej jelas bahawa rakyat tidak lagi dapat menerima tatakelola yang sedang dibuat PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) dan konco-konconya dalam PH-BN kepada negara ini.

“Mari kita selamatkan negara kita Malaysia dengan mengundi PN. Jangan takut, jangan bimbang, PN dibarisi tokoh berwibawa dan penuh integriti,” katanya. – 8 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen