Kepujian untuk Misi Bakara


Faisal Tehrani

Peranan tentera Malaysia iaitu anggota 19 RAMD Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) dalam misi menyelamat dipaparkan dalam filem Malbatt Misi Bakara. – Gambar Facebook, 3 September, 2023.

PADA 2001, Hollywood membawakan kisah dua helikopter Black Hawk yang ditembak jatuh pengganas di Mogadishu, Somalia.

Filem Black Hawk Down ini menggambarkan ketakutan, dan usaha 70 tentera Amerika untuk terus hidup di kala serangan ganas pengganas dalam satu malam yang panjang. Apatah lagi pelbagai usaha menyelamatkan mereka tampaknya gagal.

Filem arahan Ridley Scott tersebut sebetulnya adalah kisah benar apa yang berlaku di negara bergolak benua Afrika itu pada 1993.

Namun, peranan tentera Malaysia iaitu anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt), dalam menyelamatkan mereka ditiadakan dalam filem Hollywood ini.

Makanya atas semangat atau kegeraman ini, Adrian Teh pengarah filem yang sedia terkenal dengan karya aksi seperti Paskal, dan Wira mengusahakan sebuah filem dari sudut pandang kita, Malaysia, iaitu setelah dua dekad Black Hawk Down.

Maka hasilnya adalah Malbatt Misi Bakara yang menelan kos pembikinan sebanyak RM20 juta. Antara faktor kos yang tinggi adalah kerana penggunaan kesan janaan komputer (CGI) yang maksimum dalam sejarah filem tempatan.

Ada dua sebab untuk memuji filem ini. Pertamanya, aksi perang yang mendebarkan untuk standard filem tempatan. Pergerakan pantas filem membuatkan audien terpaku di bangku untuk terus menonton. Di beberapa ketika, filem memberikan rasa geruh dan gempur yang cukup tegang.

Keduanya, siapa sangka sekumpulan pelakon yang tidak dikenali memainkan peranan watak sebagai pengganas Somalia demikian hidup dan mengkagumkan.

Bahkan, “kegilaan” dan “kebuasan” pengganas Somalia dengan senjata itu berjaya membuatkan khalayak menggetap bibir dan menggelisah.

Lain dari itu, lakonan Musa Aden sebagai Abdelle, penterjemah pasukan Malaysia sememangnya mencuri perhatian. Kita dapat merasai kepedihan, dan juga krisis moral yang hebat berperang dalam dirinya.

Dia perlu memandu pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengalahkan bangsanya sendiri yang terperangkap dalam perang saudara. Dan di satu ketika, apabila keluarganya sendiri terbunuh.

Hayat seni Musa bermula dengan muzik hiphop sebelum menjadi pelarian di Kenya, dan berhijrah ke Salt Lake City, Utah Amerika. Sebagai orang Somalia, Musa menghayati penuh wataknya.

Sepatutnya ada kompleksiti sebegini dapat diterap pada beberapa lagi watak.

Mujur, lakonan Iedil Dzuhrie Alaudin sebagai Leftenan Mustafa, dan Bront Palarae sebagai Mejar Adnan yang dapat dikatakan kedua-duanya adalah watak penting filem ini membantu sedikit sebanyak Misi Bakara di layar. Pun watak mereka dapat ditelah serasa kering di atas kertas.

Kedua-dua faktor di atas berjaya menyelamatkan Misi Bakara dari karam dalam letupan. Ada dua kerugian pada Misi Bakara yang kalau disedari awal akan menjadikan filem ini kanun tersendiri.

Dua kerugian atau kemalangan itu pertamanya, terdapat pada aspek lewah pada penceritaan garapan Ashraf Modee Zain. Dalam hal ini sub plot yang memaparkan babak “nakal” antara Shaheizy Sam yang memegang watak sebagai Lans Koperal Ramlee dan Dafi Ismail selaku Lans Koperal Zulkifli (Prebet Rizal Ismail), pemandu Condor APC hanya berhasil membuatkan audien geli-geleman.

Sudah tiba masanya karyawan filem kita tidak menyelitkan adegan gedik filem 1990-an untuk menarik perhatian audien rempit. Penonton sinema kita hari ini sudah ramai yang pandai-pandai.

Untuk filem yang objektifnya membangkitkan semangat patriotik, adegan retis Dafi serasa memualkan.

Shaheizy tidak perlu mengulang gayanya dalam filem seperti Polis Evo. Kalau beliau elok sebegitu dalam filem lepasnya, janganlah disangka beliau elok selamanya demikian dalam filem akan datangnya. Bahkan untuk mewarnai karakter beliau sebagai “gila-gila” Adrian tidak memerlukan dialog mengada atau sub-plot yang bukan-bukan.

Lakonan buruk Dafi nyaris-nyaris mengheret mutu lakonan Shaheizy. Mujurlah imbangan emosi dan permainan lakon beliau dengan Musa memberikan kelebihan. Itulah pentingnya kedudukan pelakon pembantu sebenarnya.

Selain itu, tidak ada keperluan rasanya meniru gaya Hollywood, memaparkan bintang lelaki kita dengan badan berketak dan sasa seperti tertonjol pada dada dan perut.

Hal kedua adalah di sebalik elemen CGI seperti tembakan atau letupan muzzle flash, rocket-propelled grenade dan juga beberapa efek letupan lain, sayangnya Misi Bakara tidak rapi dari aspek “chroma keying”.

Untuk filem spektakular aksi, animasi dan fantasi, efek khas dan grafik yang mantap diperlukan. Pelakon perlu beraksi dan bekerja di hadapan skrin hijau. Setelah itu kelak, di peringkat post-produksi efek digital tertentu akan diadun pada skrin hijau ini secara CGI.

Latar belakang ini iaitu “plates” akan meyakinkan khalayak misalnya mereka benar-benar berada di Mogadishu.

Tentulah Hollywood tidak dapat ditandingi, teknologi  “chroma keying” mereka bermula sejak filem The Great Train Robbery (1903), The Thief of Baghdad (1940) berkembang menjadi penggunaan komputer dalam filem seperti The Empire Strikes Back (1980) sebelum diiktiraf oscar dalam filem Who Framed Roger Rabbit (1988).

Teknologi “chroma keying” di kilang pawagam Barat itu menjadi-jadi ketika The Matrix (1999).

Akan tetapi “chroma keying” juga boleh menjadi musuh industri. Jika pencahayaan tidak cukup dicampur dan diimbangkan maka “plates” akan terlihat buruk.

Inilah gangguan utama Malbatt Misi Bakara (2023). Makanya terdapat adegan sedikit cacat dan menumpulkan emosi yang sedang menular dalam minda penonton.

Pun, kekurangan di atas hendaklah dimaafkan. Kita sedang menonton filem tempatan yang berusaha untuk mengangkat sebuah kisah penting dalam sejarah ketenteraan negara. Ini merupakan satu jawapan kepada Hollywood dengan daya dan cara kita sendiri.

Ada emosi kuat yang meruntun rasa di hujung filem. Seperti yang saya nyatakan, filem ini cukup tegang untuk menghela kita ke minit terakhir.

Malah filem Misi Bakara ini adalah batu tanda yang menarik. Apatah lagi terdapatnya pendanaan daripada tokoh korporat Vincent Tan, menandakan industri perfileman kita mulai terpandang di tangan orang berduit. – 3 September, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Jarang penulis buat komen tentang filem, lagipun kita dah lama tkda pengkritik filem yang hebat.. syabas Dr

    Dimuat naik 7 bulan yang lalu oleh Saleh Zack · Ulasan