PENGENALAN Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi mungkin akan menyebabkan ibu bapa bukan Islam memilih untuk menghantar anak mereka ke sekolah swasta atau vernakular dalam jangka masa panjang, kata sebuah badan pemikir.
Iman Research berkata, pelaksanaan modul itu akan menimbulkan rasa kurang senang ibu bapa bukan Islam walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan ia hanya melibatkan guru dan pelajar Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Ibu bapa bukan Islam juga pastinya memerlukan masa yang panjang untuk memahami tujuan modul tersebut, kata Pengarah Program Iman Research Badrul Hisham Ismail.
“Ini akan menjauhkan mereka daripada sekolah kerajaan, dan memilih sekolah swasta atau sekolah vernakular. Ini sudah tentu tidak bagus untuk pembinaan negara bangsa.
“Perpecahan dan jurang akan melebar, serta berbahaya untuk jangka masa panjang. Saya bukan bermaksud modul hadis itu berbahaya, tetapi berbahaya untuk pembinaan negara bangsa apabila perpecahan semakin meluas.
“Kita ketika ini sedang berdepan naratif perkauman dan agama. Masa depan negara akan terjejas jika hal ini gagal ditangani,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Susulan itu kata Badrul, kerajaan perlu bersedia untuk membenarkan lebih banyak wacana akademi untuk membincangkan isu ini.
Beliau juga berpandangan modul hadis itu kelihatan seperti kerajaan mahu melawan naratif kaum dan agama yang dimainkan Perikatan Nasional (PN).
“Masalahnya ialah bukan sukatan pelajaran, tetapi siapa yang akan mengajar murid tentang hadis? Bagaimana dengan guru, adakah mereka benar-benar menguasai bidang hadis untuk melawan fahaman radikal?
“Adakah tafsiran itu akan sampai kepada pelajar? Dan jika kita tidak membenarkan lebih banyak wacana, bagaimana negara akan berkembang, dan adakah hanya satu suara akan didengari?
“Secara keseluruhannya, saya berpandangan kerajaan sedang cuba untuk bersaing dengan PN dan pada masa yang sama menunjukkan kepada orang Melayu bahawa kerajaan juga Islam seperti PAS,” jelas Badrul.
Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina SIdek pada 19 Ogos lalu, bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.
Modul itu akan dimulakan dengan program rintis melibatkan 61 SMKA dan 228 SABK di seluruh negara sebelum diedarkan ke sekolah-sekolah di bawah KPM tahun depan.
Modul tersebut dibangunkan selari dengan saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu kerajaan mengambil inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) untuk menerbitkan semula himpunan hadis 40 Imam Nawawi bagi diedarkan di seluruh sekolah.
Ambil masa
Prof Madya Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagaimanapun percaya pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi lama-lama kelamaan akan diterima bukan Islam.
“Saya setuju modul ini menunjukkan bahawa kerajaan perpaduan adalah kerajaan Melayu-Islam dan tidak dikawal oleh DAP. Hal ini penting untuk memenangi semula kepercayaan orang Melayu.
“Dan saya percaya lama-kelamaan ibu bapa bukan Islam akan menerimanya (penjelasan KPM). Akhirnya mereka akan faham bahawa modul ini tidak melibatkan anak mereka,” katanya.
Sementara itu, seorang pemimpin Pakatan Harapan yang enggan namanya didedahkan juga yakin modul tersebut tidak akan mencetuskan salah faham.
“Ini bukan islamisasi. Modul ini khusus untuk pelajar Islam dan tiada paksaan dalam agama kami.
“Bagi saya isu ini sudah pun selesai. MCA juga dah terima penjelasan, malah PAS akan mengadakan majlis dialog bersama Gerakan tetapi itu di luar pengetahuan kami.
“Bagi pihak kerajaan, kita akan pastikan pelaksanaannya mengikut perancangan,” katanya. – 2 September, 2023.
Komen
penyokong tegar PN, langkah KPM hanya akan mengukuhkan lagi kedudukan PN
Dimuat naik 2 tahun yang lalu oleh Saleh Zack · Ulasan