IDRIS Jala yang dilantik kerajaan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda syarikat perladangan terbesar negara baru sahaja tiba di ibu pejabat Felda Global Venture Holdings Bhd pada jam 2.40 petang tadi.
Idris yang dilantik Pejabat Perdana Menteri semalam, tiba di FGV ketika pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih berada di sana untuk mengutip dokumen berkaitan dalam dakwaan kemungkinan wujudnya salah laku dalam FGV.
Idris Jala bagaimanapun berkata kepada media yang dia tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan sekarang kerana dia masih mengumpulkan maklumat.
“Saya masih memberikan tumpuan untuk mendapatkan maklumat yang tepat. Jadi ketika saya sedang berbuat demikian saya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia masih terlalu awal,” katanya selepas melawat pejabat FGV.
Isa Samad hari ini mengumumkan surat tunjuk sebab akan dikeluarkan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) Zakaria Arshad berhubung urus niaga Safitex dan Delima Oil Products Sdn Bhd yang menyebabkan FGV kerugian besar.
Pengerusi FGV itu berkata surat berkenaan akan dikeluarkan sebaik saja siasatan dalaman berhubung kes itu siap.
“Semua maklumat siasatan akan ada dalam surat itu.
“Kami ikut prosedur dan lembaga pengarah FGV akan menentukan nasib Zakaria berdasarkan pada jawapannya,” katanya kepada wartawan di Menara Felda, hari ini.
Sidang akhbar Isa diadakan susulan perintah sekatan dikeluarkan Pengerusi Felda Shahrir Samad malam tadi yang berkata pertikaian terbuka Isa dan Zakaria membawa kepada saling tuding menuding dan kini ia sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Isa berkata mereka sudah melantik peguam dari Kuala Lumpur dan Dubai untuk mengkaji perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
Mengulas mengenai kejatuhan saham FGV, Isa berkata ia perkara biasa bagi syarikat yang sedang berdepan masalah.
“Seperti kebanyakan syarikat lain, bila mereka ada isu, saham akan jatuh. Isu ini hanya menjejaskan margin kecil saham FGV saja.
“Sebaik saja pelabur nampak bagaimana telusnya FGV, mereka akan yakin kembali,” katanya.
Isa berkata FGV juga tidak ada masalah dengan pelantikan Idris Jala untuk mengetuai siasatan kes itu.
“Kami tidak ada isu dengan Idris. Kami percaya ia langkah yang baik.
“Tetapi beliau belum lagi bertemu atau menghubungi wakil dari FGV,” katanya.
Isa berkata tidak ada alasan untuknya meletakkan jawatan seperti dicadangkan Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zakarshi.
“Kenapa saya perlu letak jawatan, bukan saya yang buat salah,” katanya.
Berhubung rampasan dijalankan SPRM pagi tadi, Isa berkata beliau masih belum dipanggil oleh SRPM untuk diambil keterangan, dan akan memberikan kerjasama penuh kepada badan anti rasuah itu.
Zakaria turut mendakwa berlaku salah pengurusan kewangan berkaitan urus niaga dua syarikat terbabit dan disoal siasat SPRM selama lebih empat jam semalam.
SPRM berkata ia menyiasat dakwaan rasuah dan kemungkinan wujud salah guna kuasa membabitkan beberapa pegawai rasmi syarikat perladangan terbesar dunia itu.
Pagi ini, pegawai SPRM merampas beberapa dokumen di pejabat FGV di Kuala Lumpur.
Selepas lapan jam operasi di Menara FGV, pegawai SPRM dilihat keluar membawa empat kotak dan tiga beg troli berisi dokumen.
Mereka merampas dokumen tersebut selepas melakukan pemeriksaan di tingkat tiga ibu pejabat syarikat perladangan terbesar negara itu.
Mereka meninggalkan kawasan ibu pejabat sekitar jam 6 petang. – 8 Jun, 2017.
Komen