Formula Razak boleh selamatkan BN?


G Manimaran

Prestasi BN terus merosot sejak 2008. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Ogos 2023.

SEJAK lima tahun lalu, khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kedudukan masa depan Barisan Nasional (BN) terus menjadi bahan perbualan, perbincangan dan debat tanpa henti. Salah satu daripada arus persoalan yang dibangkitkan ialah sama ada ia masih relevan dalam landskap politik semasa. 

Apabila berbicara tentang BN, fokus turut menjurus kepada kedudukan tiga parti pengasasnya iaitu Umno, MCA dan MIC. Ketiga-tiga parti itu menubuhkan Parti Perikatan (Perikatan), yang kemudiannya dikenali sebagai BN. Dijenamakan menjadi BN susulan prestasi buruk Perikatan dalam PRU ketiga yang diadakan pada 1969.

PRU pada 1969 tidak dapat dilupakan dengan mudah. Ia kekal dalam ingatan rakyat dan lipatan sejarah selepas dicemari dengan peristiwa pahit yang berlaku tiga hari selepas pilihan raya berlangsung.

Hari ini, BN hanya dianggotai oleh empat parti. Selepas Umno, MCA dan MIC, turut berada dalam gabungan itu ialah Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Keanggotaan mereka dalam BN juga menjadi tanda soal sejak tiga tahun lalu ekoran konflik dalaman yang kelihatan tiada kesudahan. 

Pun begitu, kehadiran pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi untuk merasmikan majlis pecah tanah bangunan baharu MIC, yang berhampiran dengan menara milik Umno, minggu lepas memberi gambaran bahawa MIC akan kekal dalam BN buat masa sekarang.

Tahun ini genap 50 tahun BN lahir sebagai gabungan utama parti-parti politik di Malaysia bagi menggantikan Perikatan. Bagaimanapun sambutan meraikan ulang tahun kelahiran tidaklah semeriah yang dijangkakan berbanding pengalaman-pengalaman lalu.

Susulan PRU15 November lalu dan enam pilihan raya negeri (PRN) dua minggu lalu, pelbagai saranan, pandangan dan cadangan dikemukakan bagi menyelamatkan BN dan komponen-komponennya. Memandangkan MCA dan MIC menarik diri daripada bertanding dalam PRN enam negeri pada 12 Ogos lalu, maka analisis lebih memfokus ke atas kedudukan Umno, parti tunggal yang membawa bendera dan logo BN semasa PRN enam negeri. 

Malah, baru-baru juga timbul cadangan agar Umno perlu mempertimbangkan untuk menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya akan datang. MCA pernah berbuat demikian ketika pilihan raya kecil Balakong empat tahun lalu apabila BN memutuskan untuk bertanding.

Lebih satu dozen pandangan, saranan dan syor telah diketengahkan oleh pelbagai pihak, dari dalam parti dan juga luar parti Umno, untuk menyelamatkan parti keramat orang Melayu, yang setakat ini telah melahirkan lapan orang presiden dan enam daripada mereka pernah menjadi perdana menteri. Untuk tempoh sementara seorang naib presiden Umno dilantik menjadi perdana menteri iaitu antara 2021 dan 2022. Ia satu perbezaan sama sekali. Kali ini di bawah kerajaan perpaduan pemimpinnya menjadi salah seorang daripada timbalan perdana menteri.

BN ditubuhkan pada 1 Januari 1973 sebagai pengganti kepada Perikatan, sekali gus menerajui kerajaan peringkat pusat sehingga 2018, dan hampir kesemua kerajaan negeri sejak negara merdeka, kecuali beberapa kali di Sabah dan di Kelantan dan Terengganu. Meskipun pernah mengalami prestasi buruk pada 1969, tetapi kedudukan yang lebih buruk telah dialami pada PRU tahun 2008. 

Sejak 2008, prestasi BN terus merosot. Pada PRU14 pada 2018, BN telah kehilangan majoriti buat kali pertama dalam sejarah dengan hanya mampu memenangi 79 daripada 222 kerusi parlimen. Dan, pada PRU15, BN hanya mempertahankan Pahang dan Perak, selain negeri Melaka dan Johor yang dikuasai semula dalam PRN mengejut yang diadakan pada November 2021 dan Mac 2022, manakala kerusi parlimen yang disandang telah berkurangan kepada hanya 30 kerusi. 

Kemudian, dengan Umno hanya mampu memenangi sebanyak 19 daripada 108 kerusi negeri (di kesemua enam negeri) yang ditandingi dalam PRN enam negeri pertengahan bulan ini.

Sejak ditubuhkan pada 1 Januari 1973, BN mengamalkan model pentadbiran yang sama sebagaimana gabungan Perikatan tetapi pada skala yang lebih luas dengan 14 buah parti politik komponen yang terlibat dalam gabungan ketika berhadapan dengan PRU14 lima tahun lalu. 

Susulan perubahan landskap politik negara sejak pertengahan 1990-an, BN yang menguasai politik Malaysia sekian lama, berhadapan dengan persaingan sistem dua gabungan pada tahun 2008, dan kemudian pelbagai gabungan pada tahun 2022. 

Ekoran kemerosotan kedua terburuk pada 2018, 10 parti komponen memutuskan untuk keluar BN termasuk Gerakan, parti-parti utama di Sabah dan Sarawak sehingga membawa kepada hanya empat komponen mendukung BN, dan pada masa yang sama menunjukkan bahawa gabungan itu sudah hilang taring kuasa politik secara besar-besaran November lalu.

BN berhadapan dengan saingan sengit daripada Pakatan Rakyat (PR) sehingga PRU 2013, kemudian Pakatan Harapan (PH) pada 2018, dan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan pada tahun 2020 menjelang PRN mengejut Sabah. 

Di Sarawak, BN tidak bertanding dalam PRN pada 2022. Sebaliknya, parti-parti yang keluar BN menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) manakala di Sabah pula pengaruh BN sudah hilang hampir separuh susulan kemunculan pelbagai parti dan gabungan baharu.

BN, didaftarkan pada Jun 1974 untuk bertanding pada PRU 1974, pernah dianggap sebagai antara gabungan pemerintah yang paling lama dalam dunia demokrasi. Status itu sudah terhakis disebabkan pelbagai faktor. 

Pada PRU 1974, dipimpin oleh Abdul Razak Hussein yang menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai perdana menteri, presiden Umno dan juga sebagai pengerusi BN, ia telah memperoleh kemenangan luar biasa dengan menang 100 kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri tanpa pertandingan. Tidak pernah ada parti dan gabungan yang pernah memenangi begitu banyak kerusi tanda saingan pada hari penamaan calon.

Razak menggunakan formula untuk membawa masuk parti-parti yang menyokong pendekatan politik baharu ketika itu. Pada masa itu, Perikatan masih mempunyai pengaruh yang besar meskipun jumlah kerusi parlimen dan undi popular yang diperoleh semasa PRU 1969 tidaklah ‘luar biasa’, sebagaimana dibanggakan. 

Razak menggunakan formula khas untuk menyelamatkan masa depan politik Perikatan dan Umno. Beliau menggunakan pendekatan membawa masuk musuh dan pesaing politik demi kelangsungan politik, dan terus kekal menguasai mandat rakyat dalam pilihan raya seterusnya. 

Beliau menyediakan asas yang dinikmati oleh BN sehingga PRU 2008. Sebagai tokoh yang pintar dalam percaturan politik, beliau berjaya dalam menjamin kedudukan, kuasa dan asas untuk mengukuhkan hala tuju partinya.

Hari ini, BN tidak berada dalam kedudukan yang kukuh dan memihak kepadanya berbanding lebih lima dekad lalu. 

Sebaliknya, BN menjadi sebahagian daripada blok kerajaan perpaduan yang terbentuk selepas PRU15 penghujung tahun lepas susulan titah Yang di-Pertuan Agong. BN tidak boleh rasa malu dan segan jika benar-benar mahu kekal relevan dalam sistem politik yang semakin kompleks dan mencabar. 

Kepimpinan semasa perlu kembali kepada formula Razak, tetapi dengan cara yang berbeza. Menerokai gabungan yang membawa nama baharu dengan keanggotaan baharu untuk kekal berkhidmat kepada rakyat.

Ruang dan peluang ke arah itu bagi BN sudah ada di atas meja. Kepimpinan dan komponen BN perlu tampil untuk menggunakan peluang itu dengan sebaik yang mungkin, dengan mengetepikan ego besar politik. BN perlu menggunakan formula Razak dengan efektif tetapi daripada sudut berbeza.

Pilihan bagi BN terhad. Masa juga suntuk bagi BN untuk menyusun strategi untuk menghadapi pilihan raya-pilihan raya seterusnya. – 28 Ogos 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen