Sudah tibakah masa Umno bertanding di bawah tiket sendiri, soal Azalina


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said berkata parti perlu mencari jalan baharu untuk menggerakkan kempen pilihan rayanya dan bukannya presiden baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2023.

KETUA Penerangan Umno Azalina Othman Said melontarkan persoalan sama ada sudah tiba masanya untuk parti Melayu itu bertanding di bawah panjinya sendiri pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Parlimen Pengerang itu turut mempersoalkan sama ada Umno masih akan bertanding di bawah bendera Barisan Nasional (BN); ataupun di bawah BN dengan gabungan baharu.

Azalina berkata demikian ketika mempertahankan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi kerana prestasi buruk gabungan itu dalam pilihan raya negeri baru-baru ini dan kritikan yang diterimanya.

“Sebenarnya bagi kepimpinan BN; parti boleh sahaja ambil jalan mudah, iaitu fokus pada kerusi-kerusi yang mudah menang atau di negeri-negeri yang kita tahu, telah menerima dan faham formula perpaduan di peringkat kerajaan pusat. Tetapi ketika kita kemukakan 108 kerusi untuk ditandingi, tiada siapa merungut malah ada juga yang merasakan jumlah itu tak cukup. 

“Tetapi hari ini, ada pula suara-suara sinis apabila ada kerusi yang kalah. Suara-suara ini tidak pula kedengaran ketika watikah diserahkan. Pengerusi BN sendiri beri kebebasan kepada perhubungan negeri dan ketua bahagian dalam pemilihan calon yang difikirkan layak. Sebab itu saya katakan, ia tanggungjawab bersama,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) mengakui parti gagal dalam aspek mendekati pengundi dalam talian, dan medan pertempuran sebenar kini adalah platform digital, bukan ceramah fizikal.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah mudah untuk menuding jari kepada pihak lain sambil menambah Umno perlu mencari jalan baharu untuk menggerakkan kempen pilihan rayanya, bukannya presiden baharu.

Banyak pihak menggesa Zahid melepaskan jawatannya berikutan kekalahan BN dalam pilihan raya negeri.

 Dr Mahathir Mohamad adalah antara yang menggesa ahli Parlimen Bagan Datuk itu berundur. – 22 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen