2 buku Amir Hamzah diambil untuk semakan kandungan, kata menteri


Saifuddin Nasution berkata buku tersebut akan dipulangkan jika hasil siasatan KDN mendapati tiada sebarang unsur yang menyalahi undang-undang. – Gambar Facebook, 22 Ogos, 2023.

TINDAKAN mengambil dua buku daripada sebuah kedai di Wisma Central, Kuala Lumpur minggu lepas hanya bertujuan untuk penelitian dan semakan kandungan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ia susulan aduan orang awam yang mendakwa kandungan buku bertajuk ‘Marx Sang Pendidik Revolusioner’ dan ‘Koleksi Puisi Masturbasi’ boleh menggugat ketenteraman awam.

“Kami hanya bertindak atas aduan awam. Hanya dua buku diambil yang tujuannya untuk dilakukan penyelidikan, penelitian, semakan kalau isi kandungannya itu bertentangan dengan aspek yang diperuntukkan dalam undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata buku tersebut akan dipulangkan jika hasil siasatan KDN mendapati tiada sebarang unsur yang menyalahi undang-undang.

Jumaat lepas, pemilik kedai buku yang juga penulis Amir Hamzah Akal Ali mendakwa kedai bukunya diserbu oleh pegawai KDN yang merampas buku tersebut dan menurutnya kedua-dua buku itu tidak diharamkan di negara ini. – Bernama, 22 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen