BARISAN Nasional (BN) akan mempunyai wakil pertama mereka dalam kerajaan Selangor selepas 15 tahun.
Menurut senarai anggota exco yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Selangor yang baru mengangkat sumpah Amirudin Shari, BN akan diwakili oleh Adun Sungai Air Tawar Umno Rizam Ismail.
10 anggota Exco kerajaan negeri Selangor itu mempunyai empat wakil daripada DAP, tiga daripada PKR dan dua daripada Amanah.
Empat Adun DAP ialah Ng Sze Han (Kinrara), Ng Suee Lim (Sekinchan), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan V Papparaidu (Banting).
Tiga wakil PKR itu ialah Najwan Halimi (Kota Anggerik), Dr Fahmi Ngah (Seri Setia) dan Borhan Aman Shah (Tanjung Sepat).
Amanah diwakili oleh Izham Hashim (Pandan Indah) dan Anfaal Saari (Taman Templer).
Suee Lim adalah Speaker DUN Selangor pada penggal lalu.
Sze Han, Izham dan Borhan sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Exco manakala enam lagi muka baharu dalam kerajaan negeri.
Kesemua 10 Exco mengangkat sumpah di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di Klang hari ini.
Amirudin berkata beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Exco pertamanya pada Rabu ini dan mengumumkan barisan portfolio beliau.
Gabungan PH-BN memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lepas. Baki 22 kerusi lagi dikuasai Perikatan Nasional (PN). – 21 Ogos, 2023.
Komen