5,000 hektar hutan terbakar di Tenerife, Sepanyol


Kira-kira 5,000 hektar kawasan hutan di pulau Tenerife di Kepulauan Canary Sepanyol musnah akibat kebakaran. – Gambar AFP, 20 Ogos, 2023.

KIRA-KIRA 5,000 hektar kawasan hutan di pulau Tenerife di Kepulauan Canary Sepanyol musnah akibat kebakaran, umum Presiden wilayah Fernando Clavijo pada petang Jumaat.

Perintah pemindahan beberapa ribu penduduk di daerah El Rosario ditarik balik berikutan api merebak semakin perlahan, lapor agensi berita dpa.

Api yang marak di timur laut pulau itu sejak lewat petang Selasa dilaporkan berjaya dipadamkan oleh kira-kira 300 anggota kecemasan pada malam Jumaat.

Sebanyak 18 pesawat dan helikopter pemadam kebakaran dirancang dikerahkan semula pada pagi semalam.

Lebih 4,000 orang dipindahkan ke pusat perlindungan kecemasan yang disediakan.

Punca kebakaran yang berlaku berhampiran bandar kecil Arafo masih belum dipastikan.

Menurut Presiden wilayah Clavijo, insiden ini mungkin paling teruk di Tenerife dalam tempoh 40 tahun yang lalu.

Usaha memadam kebakaran dilaporkan terhalang dari awal ekoran bentuk muka bumi yang berceranggah dan cuaca buruk.

Jalan masuk ke gunung berapi popular Gunung Teide ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. – Bernama, 20 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen