Suhu panas di Sepanyol, Portugal catat rekod tertinggi


Pakar berkata gelombang haba yang berulang, yang semakin panjang dan hangat, adalah akibat daripada perubahan iklim. – Gambar EPA, 10 Ogos, 2023.

SUHU meningkat di seluruh Sepanyol dan Portugal semalam ketika kedua-dua negara itu berdepan gelombang panas ketiga.

Ketika kebakaran hutan besar berlaku di selatan Portugal bagi hari kelima berturut-turut, perkhidmatan cuaca Sepanyol memberi amaran yang suhu purata di seluruh negara boleh mencecah rekod tertinggi dalam tempoh tujuh dekad.

“Ini mungkin akan menjadi lima hari dalam Ogos yang terpanas dalam tempoh 73 tahun,” kata Aemet, agensi meteorologi negeri, dengan hampir seluruh negara diletakkan di bawah amaran cuaca merah.

Suhu tertinggi berlaku di Andalusia, menurut data daripada Aemet sejurus sebelum 7 malam, di Roda de Andalucia yang mencecah 44.6 darjah Celsius, dan di lapangan terbang Granada dengan 44.1 darjah Celsius.

“Purata suhu di Sepanyol mungkin akan menjadi rekod sejak 1950,” tambah Aemet.

Angin dan panas melampau turut menyebabkan kebakaran yang setakat ini memusnahkan 15,000 hektar pokok di negara jiran Portugal sejak beberapa hari lalu.

Kebakaran terbesar berlaku di wilayah selatan Odemira dengan lebih 1,500 penduduk dipindahkan dengan kebakaran hingga ke Algarve, destinasi pelancongan yang sangat popular.

Bagaimanapun, anggota bomba bertugas berkata mereka berjaya mengawalnya semalam, dengan penurunan suhu dan kelembapan yang lebih tinggi di pantai membantu membendung penularan apabila udara panas bergerak ke timur.

Pakar berkata gelombang haba yang berulang, yang semakin panjang dan hangat, adalah akibat daripada perubahan iklim.

Semenanjung Iberia kini mengalami kesan perubahan iklim di Eropah, dengan kemarau dan kebakaran hutan semakin kerap.

Anggota bomba Sepanyol menggunakan sehingga sedozen pengebom air untuk memperlahankan api merebak di sekitar Valencia de Alcantara di Extremadura berhampiran sempadan Portugal.

“Kami memindahkan pelanggan ke sebuah hotel di Alcantara,” kata Joaquin Dieguez, pemilik rumah percutian. 

“Tetapi kami benar-benar bimbang kerana kami mempunyai hutan yang besar di sini dengan pokok oak berusia berabad-abad. Ia teruk.”

Kebakaran paling berbahaya yang berlaku pada Jumaat di Valencia de Alcantara di barat daya, “stabil”, lapor kerajaan wilayah. – AFP, 10 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen