Pemandu e-hailing cari kemajuan untuk masa depan lebih baik


Noel Achariam

Pemandu e-hailing berkata perkembangan kerjaya dalam industri adalah statik, jadi mereka meminta bantuan kerajaan membuat rancangan membantu pemandu mencari prospek yang lebih baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2023.

PERLU ada kemajuan untuk pekerja gig kerana ada yang tidak mahu berada dalam industri selama-lamanya, kata pemandu e-hailing.

Menurut mereka perkembangan kerjaya dalam industri adalah statik, jadi mereka meminta bantuan kerajaan untuk membuat rancangan bagi membantu pemandu mencari prospek yang lebih baik.

Ketua aktivis Perikatan eHailing Malaysia Jose Rizal berkata pemandu e-hailing meminta bantuan kerajaan untuk mewujudkan dasar khas bagi melindungi dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk pekerja mereka.

“Buat masa ini tiada polisi untuk pekerja mereka.

“Sebab itu kami mahu kerajaan membuat dasar untuk kepentingan pekerja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jose berkata pada masa ini hanya terdapat peraturan (untuk e-hailing) yang lebih kepada pelesenan, permit dan keselamatan kenderaan.

“Tetapi, tiada perlindungan sosial untuk pekerja gig seperti jaring keselamatan untuk masa depan mereka, simpanan untuk hari tua, perlindungan insurans, kualiti hidup yang lebih baik dan lain-lain.

“Kami juga sedang melihat peningkatan untuk pemandu dan menyediakan latihan kemahiran, supaya pada masa hadapan mereka boleh mencari pekerjaan tetap atau menjadi usahawan.”

Katanya, kerajaan boleh menyediakan dana untuk membantu pemandu dari segi membantu kemajuan mereka.

Jose juga berkata mereka telah membentangkan resolusi mereka untuk pekerja gig kepada Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar pada 17 Julai.

Antara cadangan mereka ialah menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig yang akan bertindak sebagai badan yang berfungsi sebagai pemangkin dalam memajukan industri gig.

“Suruhanjaya itu boleh memainkan peranan penting dalam memajukan kemahiran pekerja gig dengan menyediakan program latihan dan pendidikan khusus.

“Sediakan bantuan pinjaman perniagaan khas untuk pekerja gig yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.”

Pada 4 Jun lalu, Sivakumar dilaporkan berkata kementerian sedang merangka dasar sebagai garis panduan untuk pekerja ekonomi gig.

Ini katanya, sebelum kementerian boleh mengeluarkan Akta khas untuk mempertahankan hak golongan itu terutama dari segi pendapatan dan keselamatan sosial.

Sivakumar berkata pekerja yang bekerja sendiri pada ketika ini tidak mempunyai sebarang undang-undang atau akta khusus yang memberi perlindungan sepenuhnya kepada mereka.

“Oleh itu kita sedang merangka dasar untuk melihat bagaimana kerajaan boleh memastikan pekerja gig ini tidak didiskriminasi oleh majikan serta memberi perlindungan sosial kepada mereka.”

Sementara itu, Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) berkata lebih banyak butiran dan arahan diperlukan daripada Kementerian Sumber Manusia mengenai draf dasar mereka mengenai pendapatan dan keselamatan sosial untuk pekerja dalam perkhidmatan p-hailing dan e-hailing.

Presiden GDMA Arif Asyraf Ali berkata mereka telah mendengar tentang dasar itu tetapi tidak menerima maklumat yang mencukupi mengenainya.

“Kami sedar tentang dasar ini yang memberi perlindungan lebih kepada pemandu e-hailing.

“Pada satu forum Julai lalu, kementerian telah menyebut dasar itu, tetapi tidak memberikan butiran atau arahan mengenainya.

“Kami sedang menunggu untuk melihat sama ada dasar ini tersedia…? Setakat ini tidak banyak maklumat mengenainya.”

Arif berkata, dasar itu adalah untuk melindungi mereka daripada laporan penipuan oleh pelanggan, tambang murah yang ditawarkan kepada pemandu dan lain-lain.

“Kami tidak berada di bawah Akta Buruh, jadi kami perlu mewujudkan dasar untuk melindungi kami.

“Dasar ini sepatutnya meliputi bukan sahaja faedah pemandu tetapi juga kepentingan kami.

“Kami berharap dasar ini akan membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh pekerja gig.” – 20 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen