
KERAJAAN sedang meminda Akta Perkerjaan 1955 untuk memasukkan takrif pekerja ekonomi gig, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim.
“Antara pindaan itu ialah memasukkan Seksyen 101 (c) untuk memasukkan definisi pekerja dan majikan.
“Pindaan ini akan menjelaskan kedudukan pekerja dalam ekonomi gig,” kata ahli Parlimen Pendang itu kepada Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab hari ini.
Awang berkata perundangan sedia ada tidak mentakrifkan pekerja ekonomi gig.
Undang-undang semasa mentakrifkan pekerja sebagai seseorang yang mempunyai kontrak perkhidmatan dengan majikan. Bagaimanapun pekerja ekonomi gig bekerja sendiri dan bekerja secara bebas oleh itu tidak ditakrifkan sebagai pekerja.
Timbalan menteri itu menjawab soalan Ahmad Jazlan Yaakub (Machang-BN) yang bertanyakan mengenai langkah menangani isu keselamatan sosial, gaji tetap dan perlindungan pekerja perkhidmatan p-hailing.
Awang berkata, kementerian kini sedang berunding dengan pihak berkepentingan sama ada akan menggubal undang-undang baharu untuk melindungi pekerja ekonomi gig. – 2 Disember, 2021.
Komen