.jpg)
PADA minggu ini, pementasan ‘In Perfect Harmony Too’ oleh Dama Asia berlangsung di PJ PAC, One Utama.
Sepanjang pementasan muzikal itu, penonton disajikan lagu-lagu yang mendapat tempat di hati kita semua – lagu-lagu P Ramlee, Sheila Majid di samping lagu Francis Yip dan lagu-lagu paling tersohor Asean seperti Anak oleh Freddie Aguilar. Lagu Melayu, Mandarin, Cantonese, Hindi dan Bahasa Inggeris, yang disenangi semua penonton.
Nostalgia timbul apabila muzikal membayangkan betapa seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, menggilai pesta bola. Dan bagaimana kita semua akan menunggu di rumah untuk menyaksikan filem P Ramlee setiap minggu.
Sewaktu menonton pementasan ini, saya dibuai memori semasa bersekolah di Kuantan, di Assunta Convent. Berlakon di pentas kisah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong. Dan juga teater Captain Soot and the Princess. Di pentas itu, saya menari, berlakon dan menyanyi dalam koir. Saya begitu meminati aktiviti budaya sejak kecil kerana ianya diperkenalkan sejak di bangku sekolah.
Ia zaman yang indah.
Sesungguhnya, pendedahan ke dunia seni dan budaya di zaman itu, telah membentuk keperibadian dan kecenderungan saya hingga kini. Dalam bidang penulisan. Cinta pada budaya. Dan kasih pada negara dan perpaduan.
Membentuk negara berbudaya
Membentuk negara tentulah tidak semudah yang disebut-sebut semua pihak. Kita kerugian beberapa tahun akibat pertelagahan politik berterusan, hala tuju yang asyik berubah dan kurang kepercayaan terhadap jati diri bangsa dan negara.
Namun tidak mustahil jika kita bermula dari perubahan budaya yang menyeluruh – budaya pendidikan, budaya masyarakat, budaya sosio-ekonomi – ya, termasuk budaya politik – kita boleh menuju ke arah aspirasi bersama. Inilah hakikat diharap dapat membuka minda pemerintah, pemimpin, pendidik, pelajar supaya semua pihak berkepentingan melihat negara bersatu aman damai.
Budaya membentuk nilai nilai murni, membentuk struktur masyarakat dan kekayaan budaya itu akan membentuk generasi masa hadapan.
Budaya dapat menggalakkan pencarian ilmu dan cinta pada keindahan.
Jika kita mengamalkan budaya bersopan santun, maka kita akan membentuk masyarakat yang saling bertoleransi dan saling memahami. Namun budaya yang jelik akan menggelapkan nilai-nilai di antara kita.
Jika kita masih membelakangkan kepentingan budaya dalam pembentukan identiti, jati diri dan pemerkasaan anak bangsa, kita tidak akan melihat harapan ini. Perasaan benci berterusan. Negara akan terus berbelah bagi.
Serampang dua mata
Apa kepentingan seni dan budaya yang saya tekankan setiap kali saya bercakap tentang perpaduan dan jati diri serta identiti negara? Sayang sekali, sejak 1980-an, kita begitu lama membelakangkan warisan seni dan budaya. Sebenarnya, manfaat seni dan budaya, terutamanya bidang seni dan budaya amat tinggi.
Statistik menunjukkan bahawa industri kreatif menyumbang kurang 2% daripada KDNK negara. Di Indonesia, industri ini menyumbang 7% hingga 9% KDNK mereka. Memandangkan budaya kita budaya serumpun, kita mempunyai potensi menaikkan peratusan KDNK dari sektor seni dan budaya sebanyak 5% (RM8.5 bilion).
Tambahan pula, jika industri kreatif bertambah rancak, ia akan memberi kesan kepada industri pelancongan. Bayangkan kesan yang bakal dikecapi bersama.
Seni dan budaya seterusnya membuka kegiatan ekonomi yang baik untuk sebahagian besar masyarakat terutamanya B40. Contohnya persembahan Mek Mulung, Mak Yong, perusahaan batik, tenunan songket, tukang ukir kayu, dalang wayang kulit, penari singa, pementasan opera Cina, penari Bharatnatyam, dan bermacam-macam lagi.
Tidak dapat dinafikan, komuniti seni dan budaya paling harmonis dalam kalangan seluruh rakyat. Naluri dan kepentingan bagi sektor ini adalah untuk menceriakan, dan membawa sedikit pengajaran atau naratif perpaduan kepada masyarakat.
Mereka mementingkan keindahan dan kesenian. Sektor kreatif yang memulihara seni dan budaya dan jalinan masyarakat dapat memulakan gelombang keharmonian yang amat diperlukan negara.
Biar mati anak, jangan mati adat. Apabila anak muda mengenali adat dan adab, tatasusila kesopanan dan jati diri akan terbina dengan mendekatkan diri dengan seni budaya
Jelas sekali apabila seni dan budaya negara dipertingkatkan, toleransi dan asimilasi kaum dapat menuju ke satu kegemilangan. Negara yang kaya budaya, sudah tentu kaya dengan keunikan yang boleh dibanggakan bersama.
Melalui perkongsian seni dan budaya, kita saling mengenali budaya satu sama lain. dan berkasih-kasihan sesama kita.
Itulah yang diharapkan dapat mengurangkan jurang perpaduan begitu menyedihkan.
* Ninot Aziz, pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen