Kenyataan penyepit makanan untuk gambar perbezaan budaya, kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir Mohamad berkata kenyataannya berkenaan penyepit makanan bertujuan menggambarkan perbezaan budaya dan bukan berniat memperlekehkan masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Januari, 2022.

DR Mahathir Mohamad berkata kenyataannya bulan lepas mengenai orang Cina menggunakan penyepit makanan untuk makan bertujuan untuk menggambarkan perbezaan budaya.

Beliau dalam satu temu bual di sebuah stesen radio berkata tidak berniat untuk memperlekehkan masyarakat dan juga sedar bukan sahaja orang Cina tetapi banyak budaya lain yang menggunakan alat perkakas itu.

“Saya mahu menunjukkan perbezaan dari segi budaya. Saya memilih penyepit makanan kerana ia adalah perkara pertama yang terlintas di fikiran saya.

“Saya boleh kata Tarian Singa tetapi (saya pilih penyepit makanan) untuk kesederhanaan menggambarkan perbezaan, orang Melayu makan denga tangan dan orang Cina makan dengan penyepit. Itu sahaja. Ideanya bukan mengatakan penyepit lebih rendah keduduk kerana saya sedar. Orang Korea juga menggunakan penyepit malah orang Jepun juga,” katanya dalam wawancara dengan CityPlusFM.

Sambil menyifatkan kenyatannya sebagai “tidak bersalah”, bekas perdana menteri berusia 96 tahun itu berkata ada pihak yang mahu menimbulkan isu daripada kenyataannya.

“Walaupun saya berkata ‘tarian singa’, mereka akan menjadikan ia satu isu juga. Mereka ini adalah orang yang sedang mencari jalan untuk menjatuhkan satu sama lain,” katanya.

Bulan lalu pada perbincangan sempena pelancaran buku baharunya Capturing Hope Dr Mahathir ditanya mengenai asimiliasi kaum dan sama ada Malaysia harus mengikut cara Indonesia.

Beliau dilaporkan berkata penggunaan penyepit makanan oleh masyarakat Cina menunjukkan mereka memelihara adat mereka sendiri dan tidak mengamalkan “cara makan orang Malaysia”, merujuk kepada orang Melayu yang sebahagiannya makan dengan menggunakan tangan.

“Mereka mengekalkan penyepit makanan yang merupakan identiti China, bukan Malaysia dan banyak perkara lain,” kata Dr Mahathir.

Beliau dikritik oleh beberapa pihak termasuk sekutu pembangkang seperti Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang berkata Dr Mahathir harus menumpukan kepada integrasi dengan setiap budaya mengekalkan identiti mereka sendiri, hidup dalam masyarakat berbilang budaya dan bukannya asimiliasi kaum.

“Beliau salah untuk memberi tumpuan kepada asimilasi dan bukannya integrasi dan menggunakan penyepit makanan serta bukannya mengamalkan cara makan rakyat Malaysia dengan tangan adalah salah satu sebab yang membawa kepada perpisahan dalam kalangan rakyat,” kata Lim. 

Sebuah negara harus ada satu bahasa

Dalam temubual dengan CityPlusFM hari ini Dr Mahathir berkata asimilasi di Indonesia berlaku kerana di sana orang Cina menyesuaikan diri dengan menggunakan Bahasa Indonesia sebagai bahasa mereka.

“Di banyak negara yang berbilang kaum pendatang yang memasuki sesebuah negara dan menjadi rakyatnya, mereka mengamalkan budaya negara itu malah mereka lupa bahasa mereka.

“Di Malaysia orang India dan Cina berkeras untuk mengingatkan satu sama lain mereka bukan dari sini walaupun (mereka) dilahirkan di Malaysia, dibesar di sini (mereka) mengaitkan diri dengan negara asal (mereka).

“Yang lahir di sini mereka tahu budaya orang tempatan. Kita lihat ini di Indonesia (di mana) orang Cina lebih besar (jumlahnya) berbanding di Malaysia. Namun bahasa mereka adalah Melayu atau Melayu Indonesia.

“Di Thailand dan Filipina mereka juga menggunakan bahasa negara itu,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata ini penting untuk merapatkan jurang kumpulan etnik.

Oleh itu Malaysia juga harus berusaha ke arah mempunyai satu bahasa dan budaya. – 5 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen