Malaysia jadi hab transit kokain, kata Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Menurut Bukit Aman, kegiatan penyeludupan dadah merupakan jenayah popular kerana berupaya untuk menjana pendapatan kewangan lumayan kepada sindiket sama ada di peringkat antarabangsa mahupun tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos 2023.

KARTEL dadah antarabangsa terutamanya dari Amerika Latin menjadikan Malaysia sebagai hab transit mengedar kokain bagi meneroka pasaran baharu di negara-negara Asia Tenggara terutamanya Australia, Thailand, New Zealand dan Jepun. 

Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman Mohd Kamaruddin Md Din berkata, perniagaan kokain memberi pulangan sehingga 10 kali ganda berbanding dadah lain selain permintaannya semakin meningkat kalangan penagih dadah golongan mewah. 

Kata Mohd Kamaruddin, kegiatan penyeludupan dadah merupakan jenayah popular kerana berupaya untuk menjana pendapatan kewangan lumayan kepada sindiket sama ada di peringkat antarabangsa mahupun tempatan.

“Permintaan untuk dadah kokain di Malaysia masih di tahap minima kerana faktor harga pasaran yang tinggi.  

“Kebanyakan pengguna dadah kokain di rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia adalah terdiri daripada golongan kaya dan ternama. Disebabkan itu Malaysia dijadikan negara transit sebelum bekalan dadah kokain sebelum dibawa ke pasaran antarabangsa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata, mulai akhir 2022 dan awal tahun ini, sindiket dadah di seluruh rantau Asia Tenggara dan juga sindiket tempatan mula menyambung semula kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah selepas penutupan sempadan pandemik yang panjang.

“Bagi mengurangkan kerugian mereka, sindiket menemui cara baru menyeludup dadah terutama dadah methamphetamine kristal atau syabu keluar dari Asia Tenggara dan dadah kokain yang diseludup masuk daripada Amerika Latin ke Asia Tenggara untuk pasaran dengan bayaran tinggi di luar rantau Asia Tenggara,” katanya.

Menurutnya, sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah antarabangsa dan tempatan memindahkan lebih banyak dadah melalui laut bagi mengelak rondaan darat oleh pihak berkuasa sekaligus
menjadikan ia lebih sukar untuk dikesan.

“Malaysia menjadi sasaran hab kokain di rantau ini adalah disebabkan sistem infrastrukur dan pembangunan sistem hubungan komunikasi seperti jalan raya yang baik.

“Saiz perairan Malaysia yang luas juga memudahkan sindiket untuk membawa masuk dadah melalui jalan laut yang bersambung hingga ke kawasan Segi Tiga Emas,” katanya.

Menurut Bukit Aman, perniagaan kokain memberi pulangan sehingga 10 kali ganda berbanding dadah lain selain permintaannya semakin meningkat kalangan penagih dadah golongan mewah. – Gambar AFP, 17 Ogos 2023.

Selain itu, katanya, faktor sempadan Malaysia-Thailand yang diliputi hutan tebal, bergunung-ganang serta keluasan sempadan yang luas menyebabkan sindiket penyeludupan 
mudah membawa masuk dadah ke Malaysia sebelum ditransit ke negara lain.

Berdasarkan statistik polis, sebanyak 547,860.42 kilogram (kg) dadah dirampas agensi itu dalam tempoh tahun 2021 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, 31.44 kg adalah dadah jenis kokain di mana 20.74 kg rampasan dilakukan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini yang secara jelas menunjukkan trend peningkatan berbanding 5.34 kg (2021) dan 5.36 kg (2022).

Untuk tempoh masa yang sama, sebanyak 1505.77 kg dadah jenis heroin dirampas dengan pecahan 1,276.96 kg (2021), 181.03 kg (2023) dan 47.78 kg (2023).

Untuk rampasan dadah jenis lain pula, sebanyak 13352.07 kg (ganjar) , 20182.71 kg (syabu), 3834.85 kg (ketamin), 534.01 kg (pil ekstasi) dan 491, 563.33 kg (daun ketum).

Pada 1 Ogos lalu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang mengikrarkan barang dagangan sebagai suplemen kesihatan dengan memasukkan dadah jenis kokain ke dalam kapsul melibatkan rampasan bernilai RM17.6 juta.

Siasatan awal Jabatan itu mendapati dagangan tersebut diimport dari Belanda dan mendarat di Kompleks Kargo KLIA sebagai destinasi terakhir.

Pada September 2019, Jabatan Narkotik Bukit Aman merampas 12 tan dadah jenis kokain bernilai RM2.4 bilion yang cuba diseludup daripada Amerika Latin untuk dihantar ke sebuah negara lain melalui Pelabuhan Butterworth, Pulau Pinang.

Dadah jenis kokain yang dicampur dengan arang batu tersebut adalah rampasan dadah terbesar dalam sejarah di negara.

Berdasarkan harga pasaran semasa kokain di rantau Asia Tenggara termasuk Australia pada tahun 2021 dijual RM200,000 bagi setiap kilogram.

Harga pasaran di negara asal yang menghasilkan kokain seperti di Colombia, Mexico, Peru dan Panama hanya sekitar RM40,000 hingga RM50,000 setiap kilogram.

Mengikut harga pasaran tempatan, harga jualan kokain boleh mencecah RM200 untuk 1 gram. – 17 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen