Bukit Aman nafi Sanusi ditahan sekali lagi


Sebuah portal berita tempatan melaporkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dikatakan ditahan polis petang tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos 2023.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor ditahan atau dipanggil sekali lagi untuk dirakam percakapan hari ini seperti dilaporkan sebuah portal berita.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman ACP A. Skandaguru berkata tiada pihak daripada Bukit Aman, peringkat kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah di Kedah melakukan tindakan seperti yang dilaporkan portal berita berkenaan.

Justeru PDRM meminta portal berita yang melaporkan berita palsu tersebut membuat permohonan maaf serta menarik balik laporan berita yang disiarkan.

“Laporan polis akan dibuat bagi membolehkan siasatan dimulakan ke atas penyebaran berita palsu tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata tindakan mengeluarkan berita tidak sahih sedemikian boleh mendatangkan rasa panik kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam senario kempen pilihan raya negeri yang sedang berlangsung. 

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan melaporkan Sanusi dikatakan ditahan polis petang tadi.

Menerusi rakaman video sebuah program di Padang Serai, seorang lelaki yang dipercayai ahli PAS memaklumkan Sanusi tidak dapat menghadirkan diri atas faktor keselamatan. – Bernama, 5 Ogos 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen