Kepimpinan Muda bincang masa depan parti, kata setiausaha agung


Ravin Palanisamy

Kesemua 19 calon daripada Muda yang bertanding dalam PRN lalu berdepan kekalahan besar dan hilang semua deposit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Ogos 2023.

PARTI berasaskan belia, Muda yang tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan parti tidak lama lagi bagi membincangkan hala tuju seterusnya, kata setiausaha agung parti Amir Hariri Abd Hadi.

“Kami akan membincangkan perkara seterusnya untuk Muda.

“Kami sedang mencari kemungkinan untuk meliputi segala-galanya, termasuk hubungan dengan Pakatan Harapan (PH), cadangan Lim Kit Siang untuk menjadi sebahagian daripada DAP dan banyak lagi,” kata Amir kepada The Malaysian Insight.

Pada Jun, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan partinya akan bertanding dalam PRN di bawah panjinya sendiri dan mendakwa mereka sebagai “kuasa ketiga”.

Kesemua 19 calon daripada Muda termasuk Amir yang bertanding dalam PRN berdepan kekalahan besar dan hilang semua deposit.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bekerjasama dengan Muda juga tewas semua kerusi yang ditandingi.

Muda memohon menyertai gabungan PH tahun lalu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebelum pemilihan 19 November, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata sukar untuk membawa Muda sebagai komponen kelima PH kerana ia memerlukan kelulusan Pejabat Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

PH kemudian membentuk pakatan pilihan raya dengan Muda untuk PRU. Pada PRU pertamanya, Muda bertanding enam kerusi Parlimen dan memenangi satu kerusi di Muar, yang penyandangnya ialah Syed Saddiq.

Apabila memenangi PRU dan membentuk kerajaan, Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau terlalu sibuk dengan tugas menterinya untuk menyemak permohonan Muda menyertai pakatan itu.

Muda tidak dijemput untuk menghadiri dua mesyuarat sekretariat kerajaan perpaduan tetapi dijemput untuk menghadiri Konvensyen Kerajaan Perpaduan Nasional pada Mei.

PH masih belum memutuskan permohonan Muda untuk menjadi sebahagian daripada blok itu walaupun parti berkenaan terus meminta jawapan.

Walaupun Muda bertanding secara solo dalam PRN, mereka masih sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang pada masa ini memberikan Anwar sokongan majoriti besar 148 Ahli Parlimen.

Baru-baru ini seorang pemimpin PH menggesa kemasukan Muda dalam kerajaan perpaduan dikaji semula selepas keputusan parti itu untuk bertanding secara solo.

Pencalonan Muda di Sungai Kandis memecah undi memberikan Perikatan Nasional (PN) kemenangan tipis ke atas calon PH.

Wan Dzahanurin Ahmad dari PN memperoleh 28,962 undi untuk majoriti tipis 167 undi mengatasi Mohd Zawawi Ahmad Mughni dari PH. Calon Muda Afriena Shaqira memperoleh 1,341 undi. – 16 Ogos 2023. – 16 Ogos 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen