PARTI Muda akan memperhebatkan kempen di media sosial bagi menarik sokongan pengundi baharu dan melawan naratif negatif yang dimainkan pembangkang menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini, kata setiausaha agungnya Amir Hariri Abd Hadi.
Amir Hariri berkata selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu Muda juga memperbanyakkan usaha untuk memperkenalkan dan menyampaikan mesej parti dengan mendekati golongan itu di universiti di seluruh negara, di samping meningkatkan kesedaran mengenai pilihan raya.
“Muda tidak kaya seperti parti lain, jadi kami menggunakan ahli dan ejen di media sosial untuk tarik sokongan pengundi.
“Kami juga mahu melawan naratif negatif yang sering dimainkan PN (Perikatan Nasional),” katanya kepada The Malaysian Insight.
PRN di Terengganu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang perlu diadakan sebelum September ini.
Hanya Pahang, Perak dan Perlis mengadakan PRN masing-masing serentak dengan peringkat Parlimen pada PRU15 lalu. Manakala PRN di Sabah, Melaka, Johor dan Sarawak telahpun diadakan sebelum PRU15.
Selepas membentuk kerajaan perpaduan atas nasihat Agong susulan tiada gabungan yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berunding untuk bekerjasama menghadapi PRN di enam negeri.
Dua gabungan itu telahpun membentuk kerajaan campuran di Perak dan Pahang.
Amir berkata Muda kini dalam persiapan akhir menghadapi pilihan raya negeri.
“Oleh kerana Muda sebahagian daripada kerajaan, kami akan terus memberikan sokongan.
“Justeru, menjelang pilihan raya negeri, kami perlu berunding dengan semua parti komponen berkenaan pengagihan kerusi. Perkara itu akan kami maklumkan dalam masa terdekat.
“Tetapi buat masa ini apa yang kami sahkan ialah Muda akan bertanding,” katanya.
Muda membuat penampilan sulung dalam PRN Johor tahun lepas, dan menang di kerusi DUN Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi.
Kerusi itu dimenangi Timbalan Presiden Muda Amira Aisya, yang memperoleh 22,884 undi. – 9 Februari 2023.
Komen